Remaja rempuh pemotong rumput dibebas dengan jaminan polis

Keadaan dua pekerja pemotong rumput yang dilanggar oleh Perodua Alza dalam kejadian kemalangan di Jalan Pintasan Semeling, pada Sabtu.
Keadaan dua pekerja pemotong rumput yang dilanggar oleh Perodua Alza dalam kejadian kemalangan di Jalan Pintasan Semeling, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA MUDA - Remaja lelaki berusia 16 tahun yang merempuh dua pekerja mesin rumput hingga seorang daripadanya maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan Semeling, pada Sabtu dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, setakat ini polis sudah mengambil keterangan daripada remaja yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

"Setakat ini, ujian air kencing dijalankan terhadap remaja berkenaan mendapati dia bebas daripada sebarang pengaruh dadah," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati remaja yang juga pelajar di sebuah sekolah menengah itu menggunakan MPV berkenaan tanpa pengetahuan bapanya.

"Siasatan awal mendapati bapa remaja terbabit yang juga pemilik Perodua Alza itu tiada di rumah kerana menghadiri satu majlis perkahwinan.

"Kunci kenderaan ditinggalkan di rumah dan remaja terbabit menggunakan kesempatan itu untuk memandu MPV terbabit," katanya.

Zaidy menambah, setakat ini siasatan mendapati remaja itu memandu laju sehingga kenderaan terbabit hilang kawalan serta terbabas dan merempuh dua pokok.

"Dia kemudiannya merempuh pula dua pekerja pemotong rumput yang ketika itu sedang berehat di bahu jalan," katanya.

Pada Sabtu, seorang pekerja pemotong rumput warga Myanmar, Cinglowpa, 20, meninggal dunia akibat parah di kepala manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah MPV ketika mereka sedang berehat di bahu jalan pada jam 11 pagi.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.