Peguam Negara perlu jelaskan solusi kes saman Apandi Ali

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kanan: Faiz Fadzil
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kanan: Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu menjelaskan asas penyelesaian saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali kepada orang awam berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, penjelasan tersebut penting kerana kes terbabit sepatutnya menjadi duluan kes (judicial precedent) ekoran kes-kes lain yang melibatkan lantikan Perlembagaan termasuk lantikan politik.

Beliau menerusi satu kenyataan pada Ahad turut mempersoalkan prinsip dan kaedah yang diambil kira bagi menamatkan jawatan Perlembagaan seperti Peguam Negara sebagai panduan kepada mana-mana kerajaan selepas ini untuk bertindak.

"Penamatan kontrak Peguam Negara mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 145 perlu dijelaskan oleh pihak tersebut.

"Beliau juga perlu membuat penjelasan terma penyelesaian ini kerana jika ia melibatkan bayaran pampasan, ia melibatkan wang rakyat kerana dibayar oleh kerajaan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Faiz berkata, walaupun penyelesaian tersebut dibuat tanpa pengakuan kepada liabiliti, namun Peguam Negara perlu bertanggungjawab kepada orang awam untuk mendedahkan jumlah pampasan yang terlibat dan kaedah pengiraannya.

Ujarnya, Mohamed Apandi yang menyaman kerajaan Malaysia menjadi sebuah kes berkepentingan umum kerana ia dibuat atas kapasitinya sebagai bekas Peguam Negara.

"Ia menjadi satu persepsi umum bahawa penyelesaian kes ini dilihat sebagai satu pengakuan kerajaan bahawa penamatan kontrak Peguam Negara terdahulu dianggap tidak sah.

"Keadilan perlu dilihat, dilaksanakan dan oleh itu, penjelasan oleh Peguam Negara penting supaya keadilan kepada rakyat serta keluhuran undang-undang ditegakkan," jelasnya.

Pada Sabtu, Idrus memaklumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai terma penyelesaian berkaitan saman yang difailkan Mohamed Apandi Ali terhadapnya dan kerajaan Malaysia.

Katanya, berikutan penyelesaian itu, plaintif iaitu Mohamed Apandi menarik balik tindakan undang-undangnya berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara.