Dua pelatih lari dari Puspen Bukit Chabang

Polis turut melakukan tiga, sekatan jalan raya dibantu oleh Pasukan Gerakan Am untuk menahan semula dua tahanan Puspen Bukit Chabang, Beseri.
Polis turut melakukan tiga, sekatan jalan raya dibantu oleh Pasukan Gerakan Am untuk menahan semula dua tahanan Puspen Bukit Chabang, Beseri.
A
A
A

KANGAR - Polis sedang memburu dua tahanan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang, Beseri yang melarikan diri pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abudullah berkata, kedua-dua tahanan lelaki itu masing-masing berusia 51 dan 44 tahun.

"Kali terakhir salah seorang tahanan dilihat memakai baju berwarna kuning dan berseluar ‘track’ warna gelap, manakala seorang lagi memakai baju berwarna putih dan berseluar ‘track’ gelap " katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, pengurusan Puspen membuat laporan berhubung kejadian itu pada Sabtu dan Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar telah melancar Op Tutup bagi mengesan kedua-dua pelatih terlibat.

Beliau memberitahu, Op Tutup disertai oleh tujuh pegawai dan 53 anggota polis dibantu oleh seorang pegawai dan sembilan anggota dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis.

"Polis turut melakukan tiga, sekatan jalan raya dibantu oleh Pasukan Gerakan Am," katanya.

Mohd Shokri berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan (kecuaian penjawat awam membiarkan seseorang lari dari tahanan) dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan (tentangan atau halangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang).

Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan maklumat di talian 04-9492222 dan 04-9491481. - Bernama