Op Pagar Laut: Maritim tahan bot nelayan Vietnam

Maritim Malaysia Terengganu menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam dalam rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman pada Sabtu. - Foto Ihsan Maritim
Maritim Malaysia Terengganu menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam dalam rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman pada Sabtu. - Foto Ihsan Maritim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam dalam rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot berkenaan berjaya ditahan kira-kira jam 3.20 petang di kedudukan 67 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

Menurutnya, bot tersebut dikendalikan enam kru termasuk tekong dipercayai warga Vietnam berusia antara 18 hingga 56 tahun.

"Siasatan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan bot itu juga tidak mempunyai permit menangkap ikan yang sah.

"Turut dirampas adalah hasil laut seberat hampir 100 kilogram dan 500 liter bekalan diesel serta peralatan menangkap ikan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Muhammad Suffi berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa kebenaran di perairan Malaysia.

Beliau berkata, nelayan Vietnam terbabit dipercayai sengaja mengambil kesempatan menceroboh perairan negara kerana beranggapan penguatkuasaan longgar ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Namun mereka silap kerana rondaan sentiasa dilakukan walaupun ketika musim perayaan.

"Ini merupakan tangkapan ke-14 melibatkan pencerobohan nelayan asing melalui Op Khas Pagar Laut 1/2022 dengan penahanan seramai 104 kru warga Vietnam," katanya.