Jangan perkecil dan lupa pesan ibu

Nurhayati Nordin
Nurhayati Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Didikan dan pesanan ibu semasa kecil agar anaknya membesar menjadi seorang yang jujur, tidak menipu, tidak mengambil hak orang lain dan berakhlak mulia tidak harus diperkecil serta dilupakan.

Ketua Pegawai Eksekutif #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, kemuliaan seorang ibu tiada tolok bandingnya dan kuasa ibu yang bermula di dalam keluarga mampu membentuk kepimpinan untuk dunia yang lebih sempurna.

Menurutnya, dalam situasi negara berdepan dengan pelbagai konflik kepimpinan, ekonomi dan akhlak, munajat serta nasihat tulus seorang ibu amat diperlukan bagi membantu dalam memberi impak membersihkan negara dan umat daripada gejala tidak bermoral.

“Ibu adalah sosok yang diiktiraf ALLAH SWT untuk disayangi, dihormati dan disanjungi. Setiap insan pasti mempunyai ibu dan kuasa seorang ibu tiada bandingannya di dunia ini.

“Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA tentang soalan daripada seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: ‘Wahai utusan ALLAH, siapa di antara kaum keluargaku yang paling berhak atas laku kebaikanku? Rasulullah SAW kemudiannya menyatakan 'ibumu'.

“Lelaki itu bertanya lagi, 'kemudian siapa? Rasulullah menjawab, 'ibumu'. Lelaki tersebut bertanya lagi, kemudian siapa lagi? Rasulullah sekali lagi berkata, 'ibumu'. Bertanya lagi lelaki tersebut, kemudian siapa lagi? Jawapan Rasulullah adalah 'ayahmu.' (Riwayat al-Bukhari),” katanya kepada Sinar Harian.

Nurhayati turut menyatakan, peringatan seorang ibu agar anaknya kasihkan ALLAH serta bimbang akan kemurkaannya harus menjadi azimat setiap anak.

Jelasnya, kegembiraan seorang ibu adalah kegembiraan keluarga dan kesedihannya adalah kesedihan keluarga manakala doanya yang tulus menjadi dambaan setiap insan bernama anak.

“Tidak mungkin seorang ibu inginkan anaknya menggadaikan maruah diri untuk kesenangan dunia. Tiada ibu yang mahu anaknya memalukan negara kerana rasuah dan pecah amanah. Tidak ada ibu yang mahu anaknya menjadi zalim dan menjadi kehinaan masyarakat.

“Ibu ibarat bidadari kita di dunia dan akhirat. Usah diabaikan segala pesannya, usah dijatuhkan air mukanya. Kedudukan seorang ibu terlalu tinggi untuk mereka menerima hinaan dengan perlakuan tidak berakhlak, rasuah dan salah guna kuasa yang memalukan keluarga serta negara,” ujarnya.

Bersempena dengan Hari Ibu yang disambut pada Ahad, beliau turut mengingatkan agar berpegang kepada pesan ibu untuk tidak memusnahkan harapan agama, bangsa dan negara.