Sila log masuk terlebih dahulu.

Lelaki Bangladesh ditahan, polis selesaikan kes bunuh

Nor Omar
Nor Omar
A
A
A

LUMUT - Suspek yang dikehendaki polis selepas terlibat dalam kejadian bunuh seorang lelaki warga Bangladesh di Sitiawan berjaya ditahan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki juga warga Bangladesh berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.50 tengah malam di sebuah premis cuci kenderaan di Sitiawan.

Menurutnya, sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

"Hasil maklumat daripada orang awam, pasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya menahan suspek dan merampas senjata yang dipercayai digunakan menikam si mati.

"Dengan tertangkapnya suspek ini, kes ini telah berjaya diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Nor Omar berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media pada Sabtu melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki warganegara Bangladesh bagi membantu siasatan kes bunuh rakan senegaranya selepas berlaku satu pergaduhan di ruang lapang pada bahagian atas bumbung sebuah bangunan kedai di Sitiawan Isnin lalu.

Ketika kejadian, suspek berjaya melarikan diri manakala tujuh lelaki juga warga Bangladesh telah ditahan untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Punca dan motif kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan.