Tujuh ditahan tunggang motosikal bawah pengaruh dadah

Mohd Adli (dua dari kanan) bersama Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail (kanan) meninjau sekatan jalan raya sempena Op Selamat yang diadakan pada Sabtu. - Foto ihsan PDRM
Mohd Adli (dua dari kanan) bersama Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail (kanan) meninjau sekatan jalan raya sempena Op Selamat yang diadakan pada Sabtu. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

HULU TERENGGANU – Tujuh individu dikesan menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah di daerah ini pada Sabtu.

Semua lelaki itu ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) dua Op Bersepadu sempena Op Selamat yang diadakan di dua lokasi berasingan iaitu Jalan Ajil-Kuala Berang, Jalan Kuala Berang-Ajil dan Jalan Kuala Berang-Telemong bermula jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, empat suspek bekerja sebagai buruh ditahan di SJR Ajil manakala tiga lagi bekerja sendiri dalam SJR di Telemong.

“Selepas pemeriksaan dan ujian saringan air kencing dilakukan, semua mereka didapati positif dadah.

“Kita memandang serius dan sesekali tidak akan berkompromi dalam kesalahan ini kerana memandu di bawah pengaruh dadah bukan saja membahayakan diri sendiri malah boleh mengancam nyawa orang lain.

“Semua suspek yang berusia antara 21 hingga 51 tahun ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala motosikal mereka disita,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut Mohd Adli, sepanjang tiga jam dua operasi itu diadakan yang berakhir pada jam 7 petang, sebanyak 178 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya melibatkan kereta dan motosikal atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, kesalahan paling banyak direkodkan adalah motosikal tidak mempunyai cermin sisi, nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, tiada nombor pendaftaran, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

“Kita juga mengesan enam kesalahan utama dilakukan pemandu iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan memandu sambil menggunakan telefon bimbit,” katanya.