Kereta rempuh empat kenderaan berhenti di lampu isyarat

Foto tular keadaan Mercedes Benz dipandu warga asing selepas terlibat kemalangan di Persimpangan Serampang, awal pagi Ahad.
Foto tular keadaan Mercedes Benz dipandu warga asing selepas terlibat kemalangan di Persimpangan Serampang, awal pagi Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah kereta bernombor pendaftaran asing dipercayai terbabas sebelum merempuh batu penghadang jalan dan empat kenderaan yang berhenti di lampu isyarat di Kilometer 4.5 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi (Persimpangan Jalan Serampang) di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.55 pagi itu, kereta jenis Mercedes Benz itu melanggar empat kereta lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki warga asing berusia 30-an yang datang dari arah pusat bandar itu telah terbabas ketika tiba di lokasi.

“Ketika kemalangan lampu isyarat di laluan pemandu berwarna hijau, namun pemandu telah gagal untuk mengawal kenderaannya sehingga terbabas dan terlanggar batu penghadang di tengah jalan.

“Pemandu kemudian telah melanggar empat lagi kenderaan yang sedang berhenti kerana lampu isyarat merah menghala ke pusat bandar,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Raub berkata, bagaimanapun, kesemua pemandu bagi lima kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami kecederaan ringan.

"Bahagan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan juga telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian.

"Selain itu, ujian tahap alkohol yang dijalankan mendapati pemandu terbabit turut negatif di bawah pengaruh bahan berkenaan,” katanya.

Kataya, kes disiasat di bawah seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.