Macron dilantik Presiden Perancis untuk penggal kedua

Emmanuel Macron. - Foto AFP
Emmanuel Macron. - Foto AFP
A
A
A

PARIS - Emmanuel Macron pada Sabtu dilantik sebagai Presiden Perancis untuk penggal kedua lima tahun di sebuah majlis rasmi yang diadakan di kediaman Presiden.

Macron yang menentang calon sayap kanan Marine Le Pen menang dengan kelebihan 58.2 peratus undian, menjadikannya presiden Perancis pertama untuk memegang tampuk pemerintahan bagi penggal kedua sejak 20 tahun lalu, lapor Agensi Anadolu.

Laurent Fabius, ketua Majlis Perlembagaan, secara rasmi mengesahkan kemenangan Macron, diikuti majlis angkat sumpah.

Macron menyampaikan ucapan perasmian selama 10 minit di hadapan 450 pegawai kerajaan, orang kenamaan dan penyokongnya - termasuk bekas presiden Francois Hollande dan Nicolas Sarkozy.

Macron berikrar untuk membina "Perancis yang lebih kuat" dalam masa terdekat, serta berjanji meningkatkan peluang pekerjaan serta mengambil tindakan terhadap masalah domestik serta krisis perubahan iklim.

"Rakyat Perancis telah mengamanahkan saya (dengan mandat kedua). Ini amanah yang rapuh, nilai kebebasan kita sedang dicabar,” katanya.

Macron berdepan cabaran masyarakat yang berpecah-belah dan pelbagai kesukaran lain, terutamanya dalam menangani peningkatan kos sara hidup dan inflasi yang mencengkam banyak negara Eropah bukan sahaja disebabkan pandemik Covid-19 yang berlarutan tetapi juga krisis di Ukraine.

Beliau turut berikrar untuk berkhidmat kepada negara dengan "hormat" dan "penuh pertimbangan", katanya.

Memenuhi kebimbangan ekologi dan alam sekitar di Perancis serta pembangunan tenaga boleh diperbaharui turut menjadi agenda utamanya, tambah laporan itu.

"Saya berikrar untuk membina sebuah planet yang lebih sesuai untuk didiami, Perancis yang lebih rancak, dan Perancis yang lebih kuat," kata Macron.

Macon juga berdepan tugas berat memenangi kerusi majoriti dalam pilihan raya dewan perundangan akan datang pada 19 Jun.

Gabungan baharu parti Unbowed, Sosialis, Komunis, dan Hijau Perancis telah ditubuhkan minggu lalu untuk meningkatkan tentangan terhadap Macron dan La Republique En. Marche (Republic on the Move).

Penggal kedua presiden bermula secara rasmi pada Jumaat, 13 Mei, apabila penggal pertama berakhir pada tengah malam.

Beliau kemudiannya akan melantik perdana menteri baharu menggantikan Jean Castex, bersama-sama pegawai kerajaan lain.

Adalah menjadi kebiasaan untuk berbuat demikian di Perancis bagi menandakan pertukaran pemimpin dan mandat yang diperbaharui. - Bernama