Dua bekas pegawai MB Selangor dapat kebenaran merayu

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua bekas pegawai Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diberi kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan mereka memulangkan RM2.7 juta kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) yang dibayar kepada mereka sebagai pampasan.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang membenarkan permohonan bagi kebenaran untuk merayu oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI Faekah Hussin dan bekas Ketua Pegawai Operasi Rohany Talib.

Panel itu dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Tan Sri Idrus Harun.

Mahkamah membenarkan empat persoalan undang-undang oleh pemohon yang akan dihujahkan dalam rayuan mereka pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Antara persoalan undang-undang itu sama ada MBI yang diwujudkan di bawah Enakmen Pemerbadanan Menteri Besar Selangor 1994 adakah tertakluk di bawah undang-undang perbadanan seorang atau agregat korporat?

Pada prosiding hari ini, peguam Edmund Bon Tai Soon yang mewakili Faekah dan Rohany memohon agar mahkamah memberi kebenaran untuk merayu dengan menyatakan ia adalah kes pertama seumpamanya dan keputusan mahkamah itu akan turut memberi kesan terhadap MBI di lima negeri serta Menteri Kewangan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pada 25 Mei tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengarahkan Faekah dan Rohany untuk memulangkan wang berjumlah RM2,713,590.

MBI juga menamakan enam bekas pegawai yang lain sebagai responden dalam tuntutan mahkamah itu tetapi Mahkamah Rayuan tidak mengeluarkan perintah untuk mereka.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan pampasan yang dibayar kepada lapan bekas pegawai MBI itu adalah sah.

Pada 11 Mei 2015, MBI memfailkan saman itu dan menuntut semula wang yang dibayar kepada mereka melalui skim pemberhentian secara sukarela pada 2014.

Mereka menamakan Faekah, Rohany, Arfa’eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Dr Sulaiman Masri, Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail sebagai responden.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Edwin Lim mewakili MBI manakala Bon turut dibantu peguam New Sin Yew. -Bernama