Negeri Sembilan rekod 958 kes HFMD

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 958 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dari awal Januari sehingga 27 April lepas.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, pada minggu epid ke 17, sebanyak 139 kes telah dicatatkan iaitu 81 kes di daerah Seremban, 16 kes di Port Dickson, 12 kes di Jempol, 13 kes di Tampin, 10 kes di Kuala Pilah, enam kes di Rembau dan satu kes di Jelebu.

"Terdapat 13 wabak HFMD yang masih aktif iaitu lima di Rembau, Port Dickson (tiga), Jempol (tiga), Tampin (satu) dan Seremban (satu) yang kesemuanya melibatkan tadika, taska serta rumah persendirian.

"Bilangan kes HFMD yang banyak dilaporkan pada tahun ini di negeri ini adalah berikutan pembukaan semula sektor pendidikan dan tempat-tempat awam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Veerapan berkata, Kementerian Kesihatan akan terus melakukan aktiviti promosi langkah pencegahan HFMD, pemantauan ke premis-premis tadika dan pusat jagaan kanak-kanak, serta melakukan penutupan premis bagi yang mempunyai wabak HFMD.

"Justeru ibu bapa atau penjaga sentiasa memantau kesihatan anak masing-masing yang mana tidak menghantar anak ke sekolah, tadika, pusat jagaan atau tempat awam jika terdapat gejala HFMD seperti demam, ulser di mulut, blister di tangan atau kaki.

"Guru atau penjaga yang bertugas di pintu masuk taska atau tadika perlu mengenal pasti segera kanak-kanak yang bergejala HFMD dan mengecualikan mereka dari mengikuti sesi pembelajaran bersama kanak-kanak yang lain.

"Selain itu, perlu kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes HFMD mencatatkan peningkatan ketara apabila merekodkan sebanyak 22,463 kes di seluruh negara pada Minggu Epid 17/2022.

Noor Hisham berkata, penyakit HFMD disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit. Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah," katanya.