Agong berangkat ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, di Seri Perdana, hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, di Seri Perdana, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, di Seri Perdana di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka di Seri Perdana pada kira-kira 11.30 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya diiringi ke bilik santapan khas untuk bersantap juadah tradisi ala desa.

Majlis dengan tema Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri itu merupakan rumah terbuka pertama dihoskan Datuk Seri Ismail Sabri selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 20 Ogos 2021 dan barisan Kabinet beliau.

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri sudah dua tahun tidak dapat diadakan kerana pandemik Covid-19.

Kali terakhir ia diadakan adalah pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau.

Usai bersantap, Seri Paduka berkenaan berangkat ke khemah utama di Laman Sari untuk beramah mesra dengan rakyat yang hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu.

Diiringi Ismail Sabri, Al-Sultan Abdullah menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang teruja dengan kehadiran Seri Paduka di khemah yang disediakan untuk Keluarga Malaysia yang hadir, serta turut memenuhi permintaan rakyat yang ingin berswafoto.

Sementara itu, Hissyamuddin Hassan, 39, yang merupakan bapa kepada kanak-kanak istimewa Afif Khairullah Hissyamuddin, 7, melahirkan perasaan terharu kerana Seri Paduka berkenan menyantuni anaknya yang menghidap Sindrom Dravet.

"Baginda berhenti di meja saya apabila melihat anak saya dalam ‘stroller’. Baginda ada bertanya masalah anak saya, dan saya jelaskan kepada Baginda,” kata Hissyamuddin yang merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Seri Paduka berangkat meninggalkan majlis tersebut sambil melambaikan tangan kepada para pengunjung, selepas berkenan meluangkan masa kira-kira satu jam. - Bernama