Tiada kenyataan bersama PH berkaitan Nurul Izzah

Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menafikan PH ada mengeluarkan kenyataan bersama seperti yang ditularkan hari ini susulan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Katanya beliau telah menghubungi setiausaha-setiausaha parti lain dalam PH berhubung perkara tersebut dan diberitahu tiada kenyataan sedemikian dikeluarkan.

"Ini satu lagi ‘fake news’ (berita tidak benar) bagi mewujudkan ketegangan hubungan parti dalam PH,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada sidang media selepas melancarkan Program Citarasa Malaysia - Hari Bersama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution mengulas penularan satu kenyataan menggunakan logo PH, antara lain menyatakan bahawa kepimpinan gabungan politik itu tetap menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya bersama pimpinan parti komponen dan menyokong sepenuhnya misi membina semula negara daripada kleptokrasi.

Berdasarkan yang ditularkan, kenyataan itu kononnya dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah, Saifuddin Nasution; Setiausaha Bersatu, Datuk Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke.

Ia susulan daripada kenyataan Nurul Izzah yang juga bekas Naib Presiden PKR dalam satu temu bual bersama akhbar Singapura The Straits Times yang dilaporkan menggambarkan perkembangan politik dalam tempoh setahun lepas sebagai ‘sangat mencabar dan huru-hara’ selain menzahirkan kekecewaan dengan kemasukan bekas wakil rakyat UMNO dalam PH.

Saifuddin berkata beliau perlu mendapatkan penjelasan daripada Nurul Izzah sebelum boleh memberikan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

Ditanya berkenaan kekecewaan Nurul Izzah berhubung jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Saifuddin berkata beliau menghormati pendirian Nurul Izzah.

Artikel Berkaitan:

Sebagai ahli parlimen yang telah tiga penggal berada di Dewan Rakyat, katanya Nurul Izzah tentu mempunyai sudut pandangan tertentu bahawa PAC harus dipegang seseorang yang mewakili pembangkang. - Bernama