Piala Uber: Skuad negara tidak sabar berdepan Denmark

Kisona antara pemain yang menggalas cabaran negara pada saingan Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand. - Foto Badminton Association of Malaysia
Kisona antara pemain yang menggalas cabaran negara pada saingan Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand. - Foto Badminton Association of Malaysia
A
A
A

SKUAD negara sudah bersedia memberikan tentangan sengit kepada pasukan pilihan Denmark pada aksi pembukaan Kumpulan C Piala Uber 2022 di Impact Arena, Bangkok, Thailand pada Ahad.

Perkara itu ditegaskan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky yang turut mendedahkan bahawa para pemain negara juga bersemangat untuk mengharungi perlawanan berintensiti tinggi tersebut.

“Setakat ini persiapan pemain kita berada pada tahap terbaik dan kesemuanya kini memberikan fokus untuk menentang Denmark esok (Ahad).

“Walaupun terdapat dalam kalangan mereka yang baru kali pertama bermain di pentas Piala Uber, namun mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk beraksi kali ini.

“Saya harapkan para pemain akan memberikan sepenuh tumpuan selain tenang menyerap tekanan yang ada bagi membolehkan mereka memberikan aksi yang terbaik ketika berdepan Denmark,” katanya.

Skuad Piala Uber negara dibarisi enam pemain perseorangan S Kisona, Goh Jin Wei, Eoon Qi Xuan, Myisha Khairul, Tan Zhing Yi, Chan Wen Tse, manakala beregu mempertaruhkan gandingan Pearly Tan-M Thinaah, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing dan Valeree Siow-Low Yeen Yuan.

Mengenai percaturan skuad negara kali ini, Rexy berkata, pihak kejurulatihan tidak menetapkan sasaran spesifik, namun menyasarkan satu atau dua mata dapat diraih dalam acara perseorangan manakala dua mata daripada acara beregu.

“Secara kasar ini merupakan sasaran kita. Jika ia mampu direalisasikan, berkemungkinan pasukan kita ada peluang untuk mencatatkan kemenangan,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Denmark, Thailand dan Mesir dalam saingan Piala Uber kali ini.