Teknik menulis esei sastera

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEORANG penulis muda sambil mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri bertanya bagaimana cara menulis esei sastera? Dia berminat menulis esei dahulu sebelum ke bidang kritikan.

Esei didefinisikan sebagai karangan separa pendek tentang sesuatu persoalan yang dikupas menurut pandangan peribadi penulis yang disandarkan dengan pengukuhan. la hasil daripada keseluruhan rangkaian pengungkapan, penyampaian dan analisis sesuatu pemikiran atau gagasan secara logis, saintifik dan empiris.

Ada pelbagai jenis esei. Ada yang bersifat argumentasi, membahas sesuatu fakta, menunjukkan permasalahannya, kemudian menganalisisnya untuk mendapatkan suatu kesimpulan atau memberi jawapan terhadap persoalannya.

Esei deskriptif sebagai suatu hasil penyelidikan, pengumpulan data dan memberi makna kepada fenomena, untuk menyampaikan kepada dapatan-dapatan baharu.

Esei lagislatif sebagai pemecah kepada persoalan untuk menghasilkan idea atau kriteria atau sifat-sifat tertentu terhadap sesebuah tajuk. Dan esei idealistik pula mementingkan rumusan hasil kajian, mementingkan penemuan pemikiran unggul atau yang mempunyai unsur-unsur falsafah, yang kadang-kadang bersifat metafizikal.

Pendeknya, sebuah esei itu ialah rangkaian pekerjaan penyelidikan, pengumpulan data dan memerlukan suatu analisis untuk memberi segala eksposisi dan informasi intelektual, membahaskan secara rasional, berteraskan sebab musabab, berhujah dengan tepat dan memperoleh suatu hasilan atau dapatan.

Sekurang-kurangnya ada sembilan ciri sebuah esei sastera iaitu berdasarkan fakta, tepat dan benar, rasional dan tidak emosi, bersistem atau berorganisasi, tidak melebih-lebih kenyataan atau memihak, mementingkan analisis untuk pembuktian, saintifik dan empiris serta hasilannya dapat menyumbangkan perkembangan ilmu.

Sebuah esei yang baik juga menunjukkan tiga sifat penting.

Artikel Berkaitan:

Pertama data yang digunakan mempunyai validiti yang tinggi, analisis jelas dan interpretasi yang objektif.

Kedua, ia mengandung kejujuran: menyatakan sumber, rujukan dan ambilan dengan membezakan pandangan sendiri dengan pandangan orang lain.

Dan ketiga, berlandaskan kepada suatu penyelidikan - pembacaan dan pengumpulan - serta disampaikan dalam bahasa yang menarik, dengan meniadakan emosi dan unsur-unsur sensasi.

Esei bergerak pada suatu idea pusat, dan bagaimana ia dikembang dan dimatangkan untuk mencapai objektif yang ditentukan oleh hasrat esei tersebut.

​​​​​​Sebuah esei itu mempunyai skopnya sendiri, tidak terlalu luas dan tidak pula terlalu sempit.

Idea, bahan atau fakta yang telah dikumpulkan memerlukan saringan, pilihan dan hanya yang akar dan tunjang sahaja yang akan dijadikan landasan analisis.

Dan idea asas itu perlu kepada pengembangan dan perluasan. Kebijaksanaan dan bakat seseorang itu menjadi asas kepada pengembangan idea, di mana kerja-kerja perincian, pemecahan, pembahagian, pencerakinan, analisis dan perumusan, memerlukan kesungguhan dan ketajaman indera akal.

Esei yang ilmiah pula bererti mempunyai rujukan dan mengambil hujahan ilmiah. Rujukan yang klise dan stereotaip akan menurunkan darjah ilmiah.

Terlalu banyak mengambil pandangan orang lain, akan menjadikan esei sebagai tong sampah pula.

Esei bukan bermakna menyusun semula rentetan pandangan orang lain, tetapi berteraskan keaslian pemikiran sendiri dan menghujahkannya dengan pandangan relevan dan valid.

Idea asli itulah letaknya kekuatan sesebuah esei. Dengan sokongan interpretasi yang sempurna dan analisis yang menggunakan mekanisme huraian logis, idea asli akan dikembangkan bagi memberi jawapan atau pemecah persoalan. Interpretasi yang longgar dan tidak meyakinkan sama buruknya dengan analisis dangkal dan superfisial.

Keadaan ini semakin memburuk, sekiranya rujukan hanya sebagai perhiasan dan pemalsuan ilmiah. Dan keadaan bertambah-tambah lebih buruk, ia mengandung fakta atau huraian yang kabur, hujahan yang tidak tepat atau bertele-tele, analisisnya pula lemah dan menggunakan bahasa melentur-lentur yang menenggelamkan idea pusat.

Struktur dan organisasinya dalam suatu kerangka tata tertibnya; iaitu dimulai dengan suatu pembukaan atau pendahuluan atau pengenalan, berpindah kepada pembentangan gagasan dasar, kemudian melakukan analisis dan diakhiri dengan suatu kesimpulan, rumusan dan tanggapan yang menjelaskan tentang penemuan hasilan atau dapatannya.

TIDAK RIGID

Aspek analisis adalah yang terpenting dan kunci kekuatan sesebuah esei.

Tugas analisis menghuraikan tentang idea induk, pemecahan dan memberikan sokongan atau hujahan. Proses analisis idea dan sintesisnya harus mempunyai pertalian dengan idea yang lain, ia berangkai bagai mata rantai antara satu sama lainnya.

Logika dan rasional atau determinisme yang mengikat keseluruhan idea tersebut menjadikan sesebuah esei itu kejap, kukuh dan bersepadu.

Organisasi esei tidak pernah rigid. Terpulang kepada seseorang itu untuk menstruktur atau mengorganisasi eseinya. la banyak bergantung kepada teknik pengutaraan idea induk atau pusat, dan cara pengembangannya untuk sampai bagi menemukan sesuatu yang diperlukan oleh tajuknya.

Tetapi, sesuatu yang tidak pernah ada kompromi dalam penulisan esei ialah aspek penemuan kesimpulan atau rumusan bagi membuktikan atau menghujahkan persoalan yang dibincangkan.

Ini bererti penghujung sebuah esei ialah penemuan hasilan atau dapatannya, sekurang-kurangnya menyimpulkan rumusan atau tanggapannya. Tanpa penemuan-penemuan tersebut sebuah esei ibarat sampan tanpa kemudi - tanpa arah haluan. Dan keaslian idea atau pemikirannya pula menjadi sumber kekuatan yang tidak boleh dijual-beli.

Ada waktunya dalam penulisan esei, menyentuh aspek nilai sesebuah karya sastera dan mewacanakan kepengarangan. Bererti dengan sendirinya bakal penulis esei perlu menguasai teori sastera, selain itu harus juga menguasai sejarah dan aliran sastera.

Kita harus selalu sedar, sebuah esei adalah citra kepada penulisnya. Imej peribadi dan harga diri penulisnya selalunya terserap dalam esei yang dihasilkan.

Seorang yang rajin membaca dan menyelidik serta dengan kekuatan bahasa dan retoriknya, biasanya menghasilkan sebuah esei yang baik. Bahasanya bersarana, membolehkan idea dikemukakan dan menunjukkan bagaimana terbentuknya ideologi yang terkandung di dalamnya.

Kata kunci kepada bahasa esei ialah terus, jelas, tegas, objektif, positif dan lugas. Bahasa yang membersihkan dirinya daripada kesamaran, keremangan dan bombastik. Sekali-sekala boleh sahaja bersifat puitis dan dialogikal.

Demikian sedikit panduan cara menulis sebuah esei sastera. Jika ingin keterangan lanjut, boleh sahaja membaca buku saya Penulisan Akademik Sastera (2015).

Lazimnya kebolehan dan kejayaan dalam penulisan esei adalah syarat kepada kemampuannya menulis kritikan dan kajian buku sastera.

Antara penulis esei yang perlu dibaca tulisannya ialah Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Md Salleh Yaapar, Mohamad Mokhtar Hassan, Sohaimi A Aziz, Rahman Shaari, Fadhli al-Akiti, Jelani Harun, Mohd Zariat Abdul Rani, Mohamad Saleeh Rahamad dan Saifulizan Yahaya.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia