X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Penolong jurulatih skuad Belia Terengganu meninggal dunia

Foto FB Terengganu Football Club
A
A

[DIKEMAS KINI] ARENA bola sepak Terengganu kehilangan seorang legenda negeri apabila Yusoff Ali, 56, meninggal dunia kira-kira 12.45 tengah malam tadi.

Allahyarham yang bertugas sebagai penolong jurulatih skuad Piala Belia Terengganu menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri Wan Rohani Wan Mustapha, 55, dan beberapa anggota keluarga lain, di kediamannya di Kampung Padang Midin di sini akibat serangan asma.

Menurut anak lelakinya, Muhammad Ikhwan Yusoff, 30, sebelum meninggal dunia bapanya telah mengadu sesak nafas.

"Walaupun sedih dengan pemergian ayah, kami relakan pemergiannya di saat sambutan Aidilfitri masih lagi terasa.

"Saya mohon supaya semua peminat bola sepak yang masih mengingati beliau menghadiahkan doa untuk kesejahteraannya di sana," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negeri.

Katanya, pada era 1990-an, Yusoff bukan sahaja dikenali sebagai seorang pemain tengah yang berwibawa, malah disegani kerana idea bernasnya yang menggerakkan kemajuan bola sepak Terengganu.

"Allahyarham juga adalah bekas pemain Harimau Muda dan sebagai penggiat sukan, beliau sangat aktif dan pernah mendapat pengiktirafan sebagai atlet cemerlang negeri," katanya ketika dihubungi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Burung kira-kira 11.30 pagi tadi.- Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!