Harimau Muda mengaum di Hanoi

Kesebelasan utama skuad B-23 negara. - Foto Facebook FAM
Kesebelasan utama skuad B-23 negara. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SKUAD bawah 23 tahun negara (B-23) meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Thailand 2-1 pada aksi Kumpulan B, Bola Sepak Lelaki pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Thien Truong, malam ini.

Biarpun ketinggalan 0-1 pada suatu ketika, skuad muda negara dilihat tidak mudah menyerah kalah apabila tetap mempamerkan aksi bertenaga di sepanjang perlawanan bagi menghasilkan kejayaan berkenaan.

Tampil garang sebaik wisel permulaan, skuad B-23 negara dilihat memiliki beberapa peluang terbaik untuk membuka jaringan.

Pada minit ke-24, penyerang negara, Luqman Hakim Samsudin berjaya melepasi kawalan pertahanan Thailand dan berdepan satu sama satu dengan penjaga gol.

Pemain B-23 negara, Luqman Hakim Samsudin cuba melepasi kawalan pertahanan Thailand. - Foto Facebook FAM
Pemain B-23 negara, Luqman Hakim Samsudin cuba melepasi kawalan pertahanan Thailand. - Foto Facebook FAM

Bagaimanapun pemain yang beraksi dengan kelab KV Kortrijk dalam saingan Liga Belgium itu gagal memanfaatkan peluang berkenaan apabila mudah diselamatkan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Hasil satu serangan balas, Thailand kemudiannya berjaya membuka jaringan menerusi Patrik Gustavsson pada minit ke-33.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, skuad kendalian Brad Maloney itu mula bangkit mengatur serangan dalam usaha menyamakan kedudukan.

Minit ke-37, skuad B-23 berpeluang menjaringkan gol penyamaan namun, rembatan Nik Akif Syahiran Nik Mat berjaya diselamatkan penjaga gol Thailand.

Minit ke-40 menyaksikan Thailand terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Jonathan Khemdee dilayangkan kad merah kerana menarik pemain skuad negara, Syahir Bashah.

Babak kedua menyaksikan skuad negara semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan.

Hasilnya pemain tengah, Danial Asri menjaringkan gol penyamaan setelah memanfaatkan lorongan kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-61.

Kapten skuad B-23 negara, Mukhairi Ajmal Mahadi cuba melepasi kawalan benteng pertahanan Thailand pada aksi Kumpulan B, di Stadium Thien Truong, malam ini. - Foto Facebook FAM
Kapten skuad B-23 negara, Mukhairi Ajmal Mahadi cuba melepasi kawalan benteng pertahanan Thailand pada aksi Kumpulan B, di Stadium Thien Truong, malam ini. - Foto Facebook FAM

Gol penyamaan itu dilihat semakin menyemarakkan semangat skuad B-23 negara untuk mengasak ke gawang Thailand bagi menambah jaringan, namun dilihat sukar untuk menembusi benteng Thailand yang beraksi dengan 10 pemain.

Bagaimanapun, ketika perlawanan seakan berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1, Nur Azfar Fikri Azhar muncul wira dengan menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan bagi memastikan kemenangan skuad B-23 negara.