BSMM bukan sekadar persatuan di sekolah

Tunku Puteri Intan Safinaz
Tunku Puteri Intan Safinaz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mungkin ramai yang hanya menyedari Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia sebagai satu unit badan beruniform di sekolah, namun persatuan itu mempunyai tugas lebih besar terutama dalam kalangan masyarakat.

Pada usia persatuan itu yang sudah hampir 60 tahun di negara ini, penglibatan mereka dalam komuniti kurang didedahkan dan dipaparkan terutama dalam media serta tidak diketahui oleh masyarakat.

Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah berkata, BSMM adalah persatuan berkanun di negara ini yang terlibat secara langsung terutama ketika negara menghadapi bencana, krisis kemanusiaan dan turut menyumbang khidmat ketika pandemik Covid-19.

"Persatuan ini ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada tahun 1965 apabila negara telah menandatangani Konvensyen Geneva selepas kemerdekaan.

"Kami diberikan mandat seperti dalam Artikel 5 Akta 540 terutama untuk membantu ketika masa negara aman atau dalam keadaan perang iaitu daripada segi kesihatan, pencegahan penyakit dan pengurangan penderitaan di seluruh dunia mengikut Konvensyen Geneva 1949.

"Kami adalah pertubuhan kemanusiaan bukan berasakan keuntungan, namun bertanggungjawab untuk memastikan sokongan kepada kerajaan ketika negara dilanda bencana atau berdepan krisis kemanusiaan," katanya dalam satu sesi bersama media di ibu pejabat BSMM pada Sabtu.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, BSMM juga adalah ahli dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membantu berdasarkan arahan sebagai persatuan berkanun.

"Kami terlibat dalam arahan 18, 20 dan 21. Arahan 18 adalah berkenaan krisis jika tercetusnya perbalahan dan tugas kami diluar daripada 'red zone' iaitu untuk menyokong dari segi kesihatan dan kemanusiaan.

"Arahan 20 pula jika terjadinya bencana seperti banjir dan sebagainya. Kami tolong bagi makan, menyalurkan bantuan buat pemantauan dan sebagainya. Manakala, arahan 21 iaitu mengenai ketenteraman awam," katanya.

Mengulas lanjut, antara bantuan yang telah dihulurkan oleh BSMM dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga memanfaatkan masyarakat yang terkesan dengan bencana dan pandemik Covid-19.

"Untuk banjir teruk yang berlaku baru-baru ini, sebanyak 3,003 keluarga dan 1,975 pelajar sekolah telah diberikan bantuan wang tunai manakala 5,100 keluarga diberikan bantuan bakul makanan.

Tunku Puteri Intan Safinaz memaklumkan BSMM juga adalah ahli dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tunku Puteri Intan Safinaz memaklumkan BSMM juga adalah ahli dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Malah, kami juga menggerakan tujuh bot ke Hulu Langat, Shah Alam, Temerloh, Pekan dan Kuala Terengganu untuk membantu mangsa banjir. Selain itu, kami juga menyediakan khidmat psikososial kepada mangsa.

"Kami juga terlibat dalam memberikan bantuan tunai kepada penduduk Yan yang terlibat dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air pada Ogos tahun lepas.

"Ketika pandemik Covid-19 pula, kami membantu hampir 25,000 keluarga selain menyediakan khidmat vaksinasi kepada mereka yang tidak mampu dan tidak berdaya ke pusat pemberian vaksin (PPV).

"Sebanyak 49,533 suntikan vaksin telah berjaya diberikan di seluruh Malaysia termasuk kepada migran. Ini salah satu usaha kami membantu kerajaan yang mana mungkin kerajaan tidak dapat sampai ke tempat tersebut kerana kekurangan kakitangan dan sebagainya. Jadi, kami ada sukarelawan dan doktor yang sudi membantu," katanya.

Sambutan Tahunan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia

#BehumankindMalaysia menjadi tema untuk Sambutan Tahunan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia pada Ahad (8 Mei) untuk memupuk sifat kemanusiaan dalam kalangan masyarakat.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, tema itu juga bersesuaian dengan suasana negara melihat kerjasama dan semangat saling menyokong antara masyarakat terutama ketika negara diuji dengan pandemik Covid-19.

"Apa sahaja yang kita buat, kita kena kekalkan kebaikan. Dalam tempoh dua tahun pandemik ini, saya tertarik dengan cara rakyat Malaysia saling menyokong selain bantuan berterusan daripada pihak korporat dan kerajaan kepada komuniti.

"Usaha ini adalah daripada masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang untuk membantu satu sama lain. Tanpa kebaikan yang ditonjolkan ini, saya tidak rasa negara kita mampu pulih (daripada impak Covid-19) seperti apa yang berlaku hari ini.

"Namun, sifat dan kebaikan itu perlu diteruskan setiap masa bukan sahaja dalam keadaan kita dilanda bencana atau pandemik sahaja," katanya.