Jaringan Syahmi macam Socrates

Malaysia mara ke final dengan agregat 2-2 (penentuan gol tempat lawan). FOTO: AFF SUZUKI 2018
Malaysia mara ke final dengan agregat 2-2 (penentuan gol tempat lawan). FOTO: AFF SUZUKI 2018
A
A
A
KEJAYAAN Malaysia melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2018 selepas mengikat juara bertahan Thailand, 2-2, malam semalam mendapat perhatian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau yang menjangkakan kejayaan Harimau Malaya itu berkata, ia dipengaruhi oleh semangat dan prestasi keseluruhan anak buah Tan Cheng Hoe.

Malah beliau yang meminati pasukan Brazil berkata, gol pertama daripada Syahmi Safari pada minit ke-29 mengingatkan beliau terhadap pemain lagenda Brazil, Socrates.

“Sejujurnya, saya sudah dapat menjangkakan kemenangan ini setelah melihat prestasi keseluruhan pemain. Selain itu, sinergi Cheng Hoe dan barisan pemain yang mantap telah menghasilkan natijah yang membanggakan semalam.

“Gol Malaysia yang pertama oleh Syahmi Safari pada minit ke-29 mengingatkan saya kepada nostalgia gol jaringan legenda dan bekas kapten Brazil, Sócrates. Bagi saya, itu antara gol yang terbaik setakat ini,” katanya menerusi laman Twitternya, hari ini.

Zulkifli turut memberi nasihat kepada semua pemain agar sentiasa fokus dan bersemangat untuk melakar kejayaan buat kali kedua menjulang piala berprestij peringkat Asia Tenggara itu.

“Syabas dan tahniah! Cuma, jangan leka dan terus membina semangat untuk melakar kejayaan yang sudah tertangguh beberapa tahun. Moga #HarimauMalaya akan menjadi juara #AFFSuzukiCup2018,” katanya.

Dalam aksi kedua separuh akhir yang penuh mendebarkan di Stadium Rajamangala, Bangkok itu, skuad Gajah Perang gagal memanfaatkan sepakan penalti pada babak terakhir perlawanan sehingga terpaksa akur gagal melangkah ke pentas final.

Mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi pertama di Stadium Bukit Jalil, sabtu lalu, Harimau Malaya bangkit dua kali menyamakan kedudukan melalui jaringan Syahmi dan Norshahrul Idlan Talaha.
Artikel Berkaitan:


Lawan Malaysia dipentas final pada 15 Disember nanti bakal ditentukan malam ini sama ada memihak kepada Vietnam atau Filipina.