Op Selamat: Pemandu bas positif dadah

Azizan memeriksa lesen memandu milik salah seorang pemandu bas di Terminal Bas Amanjaya, Meru Raya di Ipoh.
Azizan memeriksa lesen memandu milik salah seorang pemandu bas di Terminal Bas Amanjaya, Meru Raya di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Seorang pemandu bas ekspres ditahan dipercayai positif dadah jenis methamphetamin dalam Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu didapati gagal ujian saringan urin yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Menurutnya, lelaki berkenaan tidak dibenarkan memandu dan ditahan untuk siasatan awal mengikut Seksyen 31 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Penahanan ini susulan daripada penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa terminal bas di seluruh negeri.

"Pemeriksaan terperinci dijalankan terutama aspek pemandu dan mekanikal bagi memastikan setiap penumpang selamat menuju ke destinasi masing-masing," katanya kepada pemberita pada Op Bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan AADK Perak di Terminal Bas Amanjaya, Meru Raya di sini pada Sabtu.

Pegawai polis melaksanakan penguatkuasaan dalam Op Bersepadu bersama JPJ dan AADK di Terminal Bas Amanjaya, Meru Raya di Ipoh.
Pegawai polis melaksanakan penguatkuasaan dalam Op Bersepadu bersama JPJ dan AADK di Terminal Bas Amanjaya, Meru Raya di Ipoh.

Azizan berkata, sebanyak 11,686 saman telah dikeluarkan setakat Jumaat dan pandu laju merupakan kesalahan tertinggi dicatatkan.

"Sebanyak 508 saman dikeluarkan bagi kesalahan meletak kenderaan di kawasan tidak dibenarkan diikuti 345 saman kerana mengabaikan peraturan lalu lintas.

"Sebanyak 112 saman telah dikeluarkan terhadap kenderaan berat dan bas. Operasi ini menitik beratkan aspek mekanikal seperti keadaan tayar, segi tiga kecemasan, lampu brek ketiga dan alat pemadam api," katanya.

Beliau berkata, Perak mencatatkan 16 kematian dengan 1,323 kemalangan dalam tempoh lapan hari Op Selamat 18 diadakan.

Katanya, jumlah itu menyaksikan peningkatan bilangan kemalangan iaitu sebanyak 14 peratus atau 158 kes berbanding Op Selamat 15/2019.

"Statistik menunjukkan terdapat penurunan kemalangan membabitkan bas ekspres dalam tempoh Op Selamat 18 iaitu sebanyak lima kes berbanding 10 kes pada Op Selamat 15/2019.

"Bagaimanapun, tiada kes maut dilaporkan melibatkan bas ekspres bagi Op Selamat 18 kali ini," katanya.