Jaga SOP ketika hadir rumah terbuka Aidilfitri

Muhammad Sanusi mengagihkan sampul duit raya kepada kanak-kanak yang hadir memeriahkan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon.
Muhammad Sanusi mengagihkan sampul duit raya kepada kanak-kanak yang hadir memeriahkan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan rakyat Kedah agar jangan alpa ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri biarpun telah diberikan kelonggaran dalam prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, seeloknya orang ramai dinasihatkan terus mengamalkan SOP bagi mengelak risiko Covid-19 dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri.

Menurutnya, selepas dua tahun tidak dapat meraikan Aidilfitri secara bersemuka, orang ramai dilihat teruja untuk merayakan perayaan ini dengan saling kunjung mengunjungi dan menghadiri rumah terbuka.

“Selepas dua tahun kita beraya PKP, tahun ini kita rayakan secara fizikal. Saya lihat orang ramai sangat teruja untuk datang ke rumah terbuka. Sebaik pintu Seri Mentaloon dibuka pada 11 pagi, berpusu-pusu orang masuk. Alhamdulillah, saya rasa semua orang menunggu majlis seumpama ini,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi berkata, penganjuran rumah terbuka dilakukan secara terkawal dan pihaknya turut mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan Covid-19.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengunjung yang hadir selepas beberapa tahun tidak diadakan, saya bertuah sebab tahun ini dapat mengadakan majlis ini.

“Kita raikan dengan berhati-hatilah sebagai ‘trial’ untuk memastikan majlis meriah namun terkawal. Ia adalah rahmat daripada ALLAH SWT kerana rakyat Kedah dapat bersama memeriahkan sambutan ketika kita beralih kepada fasa endemik,” katanya.

Menurutnya, diharap keadaan pandemik semakin pulih dan akhirnya keadaan kembali normal seperti sebelum ini.

“Macam biasalah, kena cuci tangan kerap, jaga penjarakan, di tempat tertutup perlu pakai pelitup muka, elakkan abai SOP biarpun kita dalam peralihan fasa endemik. Saya harap semakin hari semakin baik agar sambutan pada tahun depan akan lebih meriah lagi,” katanya.

Muhammad Sanusi memaklumkan, terdapat 22 menu ditawarkan pada majlis rumah terbuka berkenaan yang diadakan bermula 11 pagi hingga 3 petang.

“Saya ada buat kenduri ala kampung untuk raikan tetamu, menu istimewa gulai daging batang pisang. Turut dimeriahkan dengan persembahan daripada anak seni orang Kedah seperti Lan Pet Pet, kumpulan Def Gab C dan buskers.

“Untuk kanak-kanak pula, disediakan duit raya dengan peruntukan RM20,000 dan kemeriahan turut dirasai oleh lebih 30,000 pengunjung,” katanya.