Ibu bapa tidak perlu bimbang hantar anak sekolah

Rais (dua dari kanan) ketika meraikan orang ramai yang datang ke Majlis Rumah Terbuka DUN Paya Rumput di Kampung Paya Rumput pada Sabtu.
Rais (dua dari kanan) ketika meraikan orang ramai yang datang ke Majlis Rumah Terbuka DUN Paya Rumput di Kampung Paya Rumput pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Ibu bapa di negeri ini disarankan mengikut arahan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya menghantar anak-anak ke sekolah secara penuh selepas hari raya tanpa sebarang kebimbangan.

Exco Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin berkata, sistem pendidikan pada hari ini diyakini selamat untuk anak-anak hadir ke sekolah selain prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya berlaku kes Covid-19 mendadak atau peningkatan kes, kerajaan negeri termasuk Jabatan Pendidikan akan memastikan ia dikawal selia dengan baik.

"Bila buka sekolah nanti kita akan buat tinjauan semula dan mendapatkan laporan penuh daripada Jabatan Pendidikan.

"Kita akan sentiasa berwaspada, kalau berlaku sahaja (peningkatan kes Covid-19), kita akan pastikan segala SOP yang telah ditetapkan diikuti," katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Kampung Paya Rumput, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dalam perkembangan lain, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, sebanyak lapan buah sekolah rendah dan menengah dikenali pasti mengalami masalah kekurangan bilik darjah.

Menurutnya, ini termasuk situasi yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput namun tidak terlalu membimbangkan.

"Cuma melebihi kapasiti sepatutnya iaitu seorang guru nisab kepada 39 pelajar.

"Kalau ada kes-kes terpencil seperti ini laporkan segera kepada pihak sekolah atau pihak saya untuk diambil tindakan," katanya.