Kontraktor miliki pistol, dadah ditahan polis

Omar Bakhtiar menunjukkan pistol tiruan yang dirampas daripada suspek, hari ini.
Omar Bakhtiar menunjukkan pistol tiruan yang dirampas daripada suspek, hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis menahan seorang kontraktor dan merampas sepucuk pistol tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Aman Sejahtera, Parit Buntar, Jumaat lalu.

Serbuan jam 11 pagi itu, polis menghadapi kesukaran apabila lelaki berusia 30 tahun enggan bekerjasama hingga memaksa polis memecah pintu utama rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, suspek bertindak agresif hingga berlakunya pergelutan sebelum berjaya diberkas di bahagian dapur.

"Pemeriksaan awal beg silang milik suspek menemui kristal dipercayai syabu seberat 5.72 gram, ganja 2.06 gram dan balang kaca yang diubahsuai dipercayai alat menghisap dadah berkenaan.

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic yang didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu malah, pemeriksaan lanjut mendapati kereta tersebut dipercayai kereta klon apabila nombor casis tiada dalam rekod," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada sambutan peringatan Hari Polis ke-212 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Serai di sini, semalam.

Menurutnya, senjata terbabit ditemui pada 'arm rest' dalam kenderaan terbabit.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan racun serta ujian urin didapati positif dadah jenis methampetamine.

Artikel Berkaitan:

"Suspek direman sehingga 28 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39A91) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.