Lelaki direman kes cubaan bunuh polis

Suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang lelaki direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian cubaan membunuh kerana merempuh kenderaan polis pada 17 Mac lalu di Chendering, di sini.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Md Saad bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada 17 Mac lalu kira-kira jam 1.36 pagi semasa tiga anggota polis dari Balai Polis Chendering sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah.

Anggota polis itu telah pergi ke Kompleks Yayasan Ibu Tunggal, Chendering setelah terdapat aduan daripada orang awam yang memaklumkan ada beberapa orang sedang membuat bising dan mengganggu ketenteraman awam di situ.

Sebaik sampai di tempat kejadian, mereka mendapati sebuah kereta yang dalam keadaan mencurigakan.

Mereka kemudiannya memberhentikan kenderaan polis di hadapan kereta itu untuk membuat pemeriksaan, namun dengan tiba-tiba kereta suspek telah merempuh pintu hadapan sebelah pemandu dalam usaha melarikan diri.

Suspek sekali lagi dalam keadaan berundur, merempuh pintu belakang lalu terus memecut laju.

Akibat kejadian, kenderaan polis itu rosak pada pintu sebelah kanan depan dan belakang, bagaimanapun kesemua anggota polis berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi, mengesahkan penahanan suspek yang berusia 29 tahun itu.

Jelasnya, suspek merupakan pemilik kenderaan itu dan polis sedang menyiasat sama ada suspek terlibat atau berada dalam kenderaan itu semasa kejadian berlaku.

Katanya, suspek juga positif methamphetamine dalam saringan awal urin.