UMNO setuju pemilihan parti selepas PRU

Ahmad (berdiri) melayan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pontian di Benut pada Sabtu.
Ahmad (berdiri) melayan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pontian di Benut pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - UMNO bersetuju agar perlembagaan berhubung pemilihan parti itu dipinda.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pindaan berhubung pemilihan parti diadakan hanya selepas setiap kali pilihan raya umum (PRU) itu dicapai ketika Perhimpunan Agung UMNO, Mac lalu.

"Salah satu daripada usul yang dibentangkan ketika PAU lalu ialah pemilihan parti perlu diadakan selepas PRU.

"Tempohnya pula perlu diadakan enam bulan selepas PRU. Usul ini sebulat suara dipersetujui untuk dipinda dan telah diluluskan," katanya pada sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pontian di Rumah Citra Benut di sini pada Sabtu.

Ahmad menjelaskan, pindaan terbabit bagaimanapun memerlukan Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) pada 14 Mei ini.

"Pindaan perlembagaan parti berhubung pemilihan parti perlu mengikut prosedur ditetapkan supaya tidak menyalahi undang-undang dan peraturan.

"Saya juga sudah memaklumkan pada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tentang apa yang UMNO lakukan ini," katanya.

Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 17 Mac lalu, mencadangkan agar perlembagaan berhubung pemilihan parti itu dipinda.

Katanya, pemilihan parti seharusnya diadakan hanya selepas setiap kali PRU bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti.