Rangnick dakwa 'pegawai' punca United gagal dapatkan penyerang

Rangnick. - Foto TeamTalk
Rangnick. - Foto TeamTalk
A
A
A

PENGENDALI interim Manchester United, Ralf Rangnick mendedahkan beberapa ‘pegawai’ di kelab berkenaan bertanggungjawab atas kegagalan mendapatkan seorang penyerang berwibawa pada Januari lalu.

Menurut Rangnick, antara senarai penyerang yang dijadualkan tiba ke Old Trafford melibatkan Luis Diaz, Julian Alvarez dan Dusan Vlahovic bagi membantu mempertajamkan lagi jentera serangan skuad The Red Devils itu.

Justeru katanya, kegagalan berkenaan secara tidak langsung telah memusnahkan harapan skuad The Red Devils itu untuk sekurang-kurangnya memberikan saingan pada saingan Liga Juara-Juara musim ini.

“Kita sudah pun kehilangan tiga pemain penyerang... Anthony Martial dipinjamkan ke Sevilla, Mason Greenwood menjalani penggantungan manakala Edinson Cavani pula berdepan masalah kecederaaan.

“Tetapi dalam masa sama, kita juga kehilangan penyerang seperti Diaz yang kini berjaya di Liverpool, Alvarez yang akan bersama Manchester City musim panas nanti dan Vlahovic yang masih terus beraksi dengan Fiorentina.

“Saya tidak tahu bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku, sedangkan kita memang memerlukan pemain penyerang,” katanya.

Untuk rekod, Manchester United kini berada pada kedudukan keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 58 mata setelah mengharungi 36 perlawanan.

Sementara itu, Rangnick yang bakal menjalankan tugas selaku konsultan United pada musim baharu kelak berazam mahu memastikan pengendali baharu, Erik ten Hag diberikan pemain-pemain terbaik bagi mengharungi musim 2022/23 kelak.

“Saya akan cuba menjalankan tugas saya selaku konsultan kelab ini dengan sebaik-baiknya dan memastikan hanya pemain-pemain yang berkaliber beraksi dengan United,” katanya.