Lebih 25 peratus kanak-kanak lengkap vaksinasi Covid-19


Sejumlah 894,826 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia lengkap menerima vaksin di bawah PICKids setakat Jumaat. - Gambar hiasan
Sejumlah 894,826 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia lengkap menerima vaksin di bawah PICKids setakat Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 894,826 atau 25.2 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia lengkap menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) setakat Jumaat.

Menurut laman web CovidNow, sebanyak 1,542,513 kanak-kanak atau 43.4 peratus daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin tersebut.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,896,056 atau 93.1 peratus telah lengkap vaksinasi manakala 2,993,641 atau 96.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam masa sama, sejumlah 16,040,212 atau 68.2 peratus golongan dewasa telah menerima dos penggalak, manakala 22,967,814 atau 97.6 peratus telah lengkap dua dos dan 23,243,830 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sebanyak 19,105 dos vaksin Covid-19 harian diberikan pada Jumaat melibatkan 4,382 dos pertama, 13,214 dos kedua dan 1,509 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 70,365,518.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak tujuh kes kematian akibat Covid-19 direkodkan pada Jumaat dengan tiga kes dilaporkan di Selangor, Kedah (dua) dan masing-masing satu kes di Perak dan Pulau Pinang. - Bernama