Pemandu bas ekspres ditahan positif dadah

Seorang pemandu bas ekspres ditahan dipercayai positif dadah jenis ganja pada malam Jumaat. - Gambar hiasan
Seorang pemandu bas ekspres ditahan dipercayai positif dadah jenis ganja pada malam Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Seorang pemandu bas ekspres ditahan dipercayai positif dadah jenis ganja dalam operasi penguatkuasaan sempena Aidilfitri di Terminal Bas Melaka Sentral di sini malam Jumaat.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, lelaki berusia 38 tahun yang juga pemandu gantian digaji sebuah syarikat bas ekspres di terminal berkenaan ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas gagal ujian saringan urin kira-kira jam 9.30 malam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan sepatutnya membawa bas ekspres dari Melaka ke Kedah dan jadual perjalanan bas tersebut adalah pada jam 10 malam Jumaat.

"Tindakan segera telah dilakukan pihak syarikat bas ekspres berkenaan dengan menukar pemandu lain bagi memastikan penumpang sampai ke destinasi mereka mengikut jadual perjalanan ditetapkan dengan selamat.

"Pemandu tersebut juga adalah individu dalam pengawasan AADK di Kedah atas kesalahan dadah dan dimaklumkan datang ke Melaka untuk menggantikan pemandu syarikat bas ekspres terlibat," katanya kepada pemberita di Terminal Bas Melaka Sentral di sini lewat malam Jumaat.

Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 122 pemandu bas ekspres dan 326 bas ekspres di terminal berkenaan telah diperiksa serta sebanyak 53 slip pemeriksaan bas telah dikeluarkan bagi memastikan kenderaan selamat digunakan khususnya dari aspek keselamatan tayar dalam operasi dijalankan pada 26 April hingga Khamis (5 Mei).

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 37 pemandu dikenakan tindakan mahkamah kerana melakukan lima kesalahan sepanjang tempoh operasi berkenaan dijalankan di negeri itu.

Katanya, daripada jumlah itu, 22 pemandu dikenakan tindakan mahkamah kerana melanggar lampu merah, menggunakan telefon bimbit semasa memandu (enam orang), memotong barisan (lima orang) dan memandu di lorong kecemasan (empat orang).

"Sebanyak 28 kompaun juga dikeluarkan sepanjang tempoh operasi tersebut iaitu 13 kompaun kerana tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, membawa lebih muatan (14 kompaun) dan membawa muatan dalam keadaan bahaya (satu kompaun).

"Kita juga telah mengeluarkan 203 notis atas pelbagai kesalahan dan empat kenderaan iaitu tiga motosikal dan satu kereta telah disita. Dua daripada kenderaan itu disita kerana kerana lesen kenderaan motor dan insurans telah tamat tempoh, manakala dua lagi kenderaan disita kerana dipandu warga asing," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan sehingga Khamis itu, sebanyak 944 kenderaan telah diperiksa dan 174 daripadanya telah diambil tindakan lanjut atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, katanya, pengusaha bas yang menggunakan bas tambahan diingatkan supaya memastikan bas tersebut telah mendapat permit atau lesen perubahan sementara (LPS) daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka gagal mematuhinya. - Bernama