Sarah Suhairi mahu hentikan gosip

Sarah Suhairi
Sarah Suhairi
A
A
A

PENYANYI Sarah Suhairi merasakan sudah tiba masa peminat memfokuskan kepada bakat yang dimilikinya berbanding cerita-cerita lain yang disifatkan tidak membantu perjalanan kerjaya seninya.

Selepas bergelar juara program Big Stage musim pertama, nama Sarah telah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan rakan seangkatan, Ariff Bahran dan Andi Bernadee.

Situasi tersebut menyebabkan peminat lebih banyak bercakap tentang perkara itu berbanding kerjaya seninya..

No Image Caption

“Sarah akui selepas tamat program Big Stage, nama Sarah lebih banyak disebut kerana gosip dengan orang itu dan orang ini, berbanding kerjaya seni Sarah.

“Pada mulanya Sarah ingat ia hanya sekejap sahaja dan tidak ambil kisah kerana anggap ia adalah lumrah dalam industri.

“Tapi apabila ia berlaku secara berterusan sehingga ada yang lebih tahu tentang gosip berbanding lagu nyanyian Sarah, mungkin sudah tiba masanya untuk Sarah lakukan sesuatu,” ujarnya.

Memiliki misi yang jelas dalam kerjaya seninya, pelantu lagu Pedih ini mahu mengambil segala peluang yang ada untuk berkongsi bakatnya kepada umum.

Artikel Berkaitan:

Tidak mahu terus bergantung kepada populariti yang diraih saat bergelar juara program Big Stage musim pertama tahun lalu, Sarah kini sedang giat menyusun strategi untuk terus diterima ramai menerusi penghasilan album sulungnya tidak lama lagi.

“Memang Sarah akui, kebanyakan bintang-bintang baharu selalunya hanya akan tampil dengan single terlebih dahulu untuk memperkenalkan nama mereka kepada umum.

“Bagaimanapun bagi Sarah, sebagai seorang penyanyi, album penting untuk Sarah dan ia boleh dilihat sebagai penggerak kepada pencapaian lain yang harus dimiliki.

“Mungkin ada yang melihatnya sebagai langkah yang berisiko, namun Sarah lebih melihat ia sebagai usaha Sarah untuk melakukan sesuatu. Sarah tak kisah kalau gagal, tapi sedih kalau tak mencuba kerana apa pun yang kita lalui, ia adalah satu proses pembelajaran,” tegasnya yang mendapatkan khidmat Sharol Paul dan Faizal Tahir sebagai komposer dan penerbit.

Meski banyak mendapar tawaran untuk mengembangkan bakatnya dalam cabang seni lain seperti lakonan dan pengacaraan, Sarah menegaskan keutamaannya adalah kepada bidang nyanyian.

“Memang ada ketika rasa serba salah dan sayang nak tolak tawaran yang datang, tetapi Sarah harus sentiasa ingatkan diri bahawa bakat dan minat Sarah lebih cenderung kepada nyanyian berbanding yang lain.

“Sarah pernah terlibat dalam sebuah mini drama yang hanya untuk beberapa episod sahaja, tetapi memerlukan komitmen masa yang begitu tinggi sehingga ia mengganggu jadual saya dalam bidang nyanyian.

“Jadi adalah lebih baik Sarah fokus pada nyanyian dan kejar misi Sarah untuk berjaya dalam bidang ini,” katanya kepada Sinar Harian.