ADI adakan temu duga pengambilan pelajar secara dalam talian

Akademi Darul Iftak, Sungai Layar Hujung, Sungai Petani menyediakan pengajian percuma kepada pelajar yang dibiayai sepenuhnya hasil sumbangan orang ramai.
Akademi Darul Iftak, Sungai Layar Hujung, Sungai Petani menyediakan pengajian percuma kepada pelajar yang dibiayai sepenuhnya hasil sumbangan orang ramai.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kesan penularan Covid-19 turut dirasai warga Akademi Darul Iftak (ADI) di Sungai Layar Hujung di sini yang menyediakan pengajian percuma apabila terpaksa mengendalikan sesi temu duga pelajar secara dalam talian.

Ketua Penyelaras Al-Quran ADI, Anuar Faiz Mohd Desa berkata, secara kebiasaan, permohonan perlu disusuli dengan sesi temu duga yang dijalankan selama dua hari satu malam, di pusat pengajian terbabit.

Bagaimanapun, kesan Covid-19 turut menyebabkan permohon perlu mengikuti sesi temu duga yang dijalankan secara dalam talian sebelum diterima sebagai pelajar.

"Antara peraturan di sini, kami jalankan temu duga yang mengambil tempoh lama iaitu dua hari satu malam dengan beberapa aktiviti lain seperti membaca al-Quran, qiyamulail dan penilaian akhlak yang membolehkan mereka perlu melepasi kesemua tahap ini sebelum diterima menjadi pelajar ADI, tetapi disebabkan Covid-19, kita buat secara dalam talian," katanya.

Menurut Anuar Faiz, antara syarat yang ditekankan termasuk mahir membaca al-Quran, mempunyai akhlak baik dan mampu mengikuti silibus serta sistem pendidikan yang telah ditetapkan.

Jelas beliau, ADI yang diterajui Pengerusi dan Pengasas, Mohamad Wadi Annuar Ayub bermatlamat melahirkan ilmuan Islam berprestasi tinggi serta mampu mengisi kekosongan sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa atau mufti.

Katanya, tempoh pengajian keseluruhan mengambil masa selama 12 tahun termasuk menamatkan hafazan al-Quran beserta syahadah al-Quran dalam tempoh dua tahun.

Seterusnya, pelajar akan menghafal 1,000 matan hadis daripada kitab Matan Arbain, Al-Bulghah, Mukhtasar Sahih Muslim selama empat tahun.

Dalam masa sama, sesi pengajian kitab Tafaqquh Fiddin berlansung dengan pengajian matan induk seperti tauhid, fiqh, tasawuf dan lain-lain dalam tempoh empat tahun seterusnya membuat persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan pelajar meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tinggi Islam serta Sijil Prinsip Fatwa.

"Alhamdulillah, seramai 20 orang huffaz sulung ADI telah berjaya menyelesaikan syahadah Al-Quran pada 2020,"katanya.

Jelasnya, pengambilan pelajar baharu akan dilakukan dalam tempoh dua tahun sekali dan permohonan terbaharu boleh dilakukan sekitar bulan Ogos 2022 bagi kemasukan tahun 2023.

Katanya, permohonan boleh dilakukan melalui dalam talian menerusi Facebook Akademi Darul Iftak di mana terbuka kepada semua pelajar lelaki seawal 11 tahun yang sepenuhnya dibiayai hasil sumbangan orang ramai.