Mayat lelaki tangan, kaki diikat ditemui terapung

Mayat seorang lelaki ditemukan terapung dengan keadaan kaki dan tangan diikat di Sungai Golok berhampiran Kampung Simpangan, Tumpat pada Jumaat.
Mayat seorang lelaki ditemukan terapung dengan keadaan kaki dan tangan diikat di Sungai Golok berhampiran Kampung Simpangan, Tumpat pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Mayat seorang lelaki dalam keadaan kaki dan tangan diikat ditemui terapung di Sungai Golok berhampiran Kampung Simpangan, di sini pada Jumaat.

Mayat lelaki itu ditemukan tanpa pakaian dalam keadaan meniarap dan mukanya ditutup dengan ikatan kain.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Tan Seng Lee berkata, sejurus menerima panggilan berhubung penemuan mayat tersebut pihaknya terus ke lokasi.

"Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan turun ke lokasi untuk membuat siasatan.

"Pemeriksaan ke atas mayat itu mendapati mangsa tidak mempunyai kesan suntikan BCG. Ketika ditemukan, mangsa yang dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun itu tidak mempunyai identiti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan mayat tersebut dipercayai sudah berada dalam air melebihi 24 jam.

Beliau berkata, mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seng Lee berkata, penduduk Thailand di seberang Sungai Golok turut ditemui untuk mendapatkan maklumat berhubung penemuan mayat tersebut.

"Setakat ini tiada maklumat berkait dengan orang hilang termasuklah pengecaman yang dibuat oleh dua orang penghulu," katanya.

Menurutnya, kerjasama dengan pihak berkuasa Selatan Thai akan dibuat dalam membantu siasatan lanjut berkait dengan penemuan mayat terbabit

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ahli keluarga yang hilang boleh menghubungi talian 012-9216944.