Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit memulakan sesi awal dagangan pagi ini rendah berbanding dolar AS kerana sentimen penghindaran risiko dijangka terus menguasai hala tuju mata wang tempatan.

Pada jam 9.03 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.3635/3695 berbanding dolar AS daripada penutup Khamis pada 4.3465/3515.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, gandingan dolar AS/ringgit diunjur kekal lemah hari ini memandangkan kebimbangan mengenai kemungkinan pengetatan agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) akan sekali lagi mempengaruhi pasaran.

Beliau menambah ini berlaku walaupun terdapat komunikasi yang jelas oleh Fed selepas mengadakan perbincangan pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan minggu ini.

"Selain itu, prospek ekonomi suram bertambah selepas Bank of England (BOE) menaikkan kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas kepada 1.00 peratus. Bank pusat berpendapat ekonomi UK akan mengalami penguncupan sebanyak 0.25 peratus pada 2023 sebelum menyambung kembali pertumbuhan 0.25 peratus pada 2024.

"Sebab utamanya adalah tidak lain dan tidak bukan ialah tekanan inflasi yang meningkat dan ini boleh menjejaskan kuasa beli pengguna dan margin perniagaan manakala gangguan dalam rantaian bekalan bersama-sama konflik ketenteraan di Ukraine akan memberikan tekanan selanjutnya terhadap inflasi,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Pada masa ini, dolar AS-ringgit Malaysia didagangkan di atas paras sokongannya RM4.3420 manakala paras rintangannya kini pada RM4.449.

"Berdasarkan petunjuk teknikal, risiko penurunan terhadap ringgit agak terhad memandangkan mata wang itu sudah berada pada kedudukan terlebih jual. Kami percaya ringgit boleh kekal sekitar RM4.35 hari ini kerana sentimen penghindaran risiko akan terus menguasai hala tuju ringgit,” tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1492/1540 daripada penutupan semalam (Khamis) 3.1549/1588 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3946/4020 daripada 5.4622/4685.

Nilai ringgit turut mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3444/3493 daripada 3.3517/3558 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5996/6059 daripada 4.6056/6108.- Bernama