Tiga pentas debat pemimpin politik bakal jadi tumpuan

Pentas debat akan dimulai dengan Adam Adli dan Fahmi Zainol pada Selasa ini, diikuti Saifuddin Nasution dan Rafizi serta diakhiri Debat Perdana antara Najib dan Anwar yang akan diadakan pada 12 Mei ini.
Pentas debat akan dimulai dengan Adam Adli dan Fahmi Zainol pada Selasa ini, diikuti Saifuddin Nasution dan Rafizi serta diakhiri Debat Perdana antara Najib dan Anwar yang akan diadakan pada 12 Mei ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Perkembangan pentas debat membabitkan pemimpin politik dijangka terus menjadi tumpuan dalam beberapa hari ini.

Ia bakal dimulai dengan dua calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli dan Fahmi Zainol yang dijadualkan berdebat pada Selasa ini.

Mereka yang juga bekas aktivis mahasiswa bakal berhujah secara eksklusif di Astro Awani.

Keesokan harinya pula iaitu pada 11 Mei, para peminat politik tanah air dan pengikut Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpeluang mengikuti debat secara langsung antara dua calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli anjuran Sinar Harian.

Program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ itu akan berlangsung selama satu jam 30 minit dan dihoskan oleh Amin Idris.

Pemimpin pusat PKR dilapor menyambut baik perkembangan tersebut dengan menyifatkan perdebatan antara dua pemimpin berpengaruh itu membolehkan masing-masing mengeluarkan 'peluru' dan idea bagi masa depan parti.

Sementara itu, lokasi bagi Debat Perdana membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan pada 12 Mei juga masih menjadi tanda tanya.

Pengumuman mengenai lokasi pentas debat tersebut tentunya dinantikan oleh pengikut politik tanah air dan ia dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Beralih kepada perkembangan sambutan Aidilfitri yang masuk hari kelima hari ini, polis menjangkakan 4.5 juta kenderaan berada di atas jalan raya sehingga Ahad ini susulan orang ramai pulang ke kediaman masing-masing selepas sambutan Aidilfitri.

1.2 juta daripada jumlah kenderaan tersebut dianggarkan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, trend pergerakan pulang itu dijangka menyaksikan peningkatan yang ketara mulai hari ini.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain pula dilapor berkata, 113 kes kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara dalam Op Selamat setakat Rabu.

Sepanjang enam hari Op Selamat yang dilancarkan pada 29 April lalu sempena musim perayaan Aidilfitri itu juga, 9,816 kemalangan dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Pada hari pertama operasi berkenaan, 2,140 kemalangan direkodkan membabitkan 10 kematian dalam 10 kemalangan maut manakala pada Rabu, 1,455 kemalangan direkodkan membabitkan 24 kemalangan maut dengan 24 kematian.