Muhamad Luqman pertaruh legenda Samba buru pingat di Hanoi 2021

Muhamad Luqman
Muhamad Luqman
A
A
A

SETIAP pengurus pasukan bola sepak di dunia pasti mendambakan khidmat penyerang seperti legenda Brazil, Ronaldo Luis Nazario de Lima di kemuncak prestasi dalam pasukan kendaliannya.

Bahkan keinginan itu turut dirasai ‘pengurus’ di alam maya apabila karakter Ronaldo yang diberi julukan El Fenomeno menjadi antara pemain yang tidak mahu dilepaskan setiap penggemar permainan video khususnya atlet e-sukan dalam misi memenangi setiap perlawanan.

Tonggak skuad eRimau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Muhamad Luqman Haziq Hajiman mengakui kebolehan dan kemahiran tinggi dimiliki karakter Ronaldo ditagih bagi mengharungi cabaran FIFA Online 4 pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam bermula 12 hingga 23 Mei ini.

Beliau berkata, Ronaldo merupakan karakter pemain yang paling selesa digunakannya untuk melakar kemenangan.

"Bagi saya dia pemain yang boleh jadi game changer kalau kita nak satu gol yang penting. Saya percaya dia pemain terbaik yang boleh buat semua itu. Kalau dapat memang puas hati,” katanya.

Pada temasya sukan dwitahunan itu, Muhamad Luqman yang tidak asing lagi dalam siri permainan video FIFA menyasarkan pasukannya merangkul pingat gangsa, namun berazam memberikan terbaik bagi meraih emas.

Di Hanoi, FIFA Online 4 buat julung kali dipertandingkan sebagai antara 10 acara e-sukan selepas saingan sukan berasaskan permainan video itu membuat kemunculan pertama pada edisi 2019 di Filipina dengan menawarkan enam pingat emas.

Sementara itu, Muhamad Luqman, 25, berharap untuk membawa mesej yang positif mengenai e-sukan menerusi penyertaan sulungnya itu.

"Kita tahu e-sukan sesuatu yang baharu, industri yang tak stabil, nak buat karier agak susah tetapi saya rasa ini satu inisiatif yang baik daripada penganjur, sebab mereka letakkan kami setaraf di Sukan SEA ini.

"Pingat kami boleh menang adalah pingat emas yang sama pasukan lain boleh menang, nanti ibu bapa akan terbuka mata dan percaya e-sukan boleh pergi jauh, boleh jadi karier dan sesuatu yang boleh dibanggakan sampai ke tua,” katanya. - BERNAMA