Maszlee lawan gengster ilmu

A
A
A

IBN KHALDUN dalam kitabnya bertajuk al-Muqaddimah mengadu tentang masalah pelajar-pelajarnya yang memilih untuk diam seribu bahasa di dalam kelas. Ketika ini, beliau sedang menyaksikan kejatuhan tamadun Andalusia.

Beliau berkata, pelajar-pelajar memang rajin menghadiri banyak majlis ilmu tapi hanya sekadar diam dan mendengar. Mereka ingat budaya ilmu adalah hanya setakat menerima informasi. Bagi Ibn Khaldun, ini bukan budaya ilmu yang sebenar.

Semasa Dr Maszlee Malik dicabar oleh mahasiswa-mahasiswa untuk letak jawatan tahun lepas, ramai terkejut dengan tindakan beliau yang sanggup turun padang untuk dengar pendapat-pendapat mereka, beri air minuman kepada pelajar-pelajar yang biadab terhadapnya sambil beliau memberi senyuman kepada mereka.

Inilah akhlak seorang pendidik. Mungkin pada masa itu ramai yang geram dengan beliau kerana terlalu berlembut dengan pelajar-pelajar yang biadab itu. Tetapi beliau memberi respons positif bahawa pelajar-pelajar ini adalah umpama anak-anak beliau. Mereka masih belajar. Kalau kita tunjuk akhlak gengster, maka mereka akan ikut jadi gengster.

Akhlak gengsterisme ditonjolkan ketika beberapa penyokong Najib tidak puas hati dengan tindakan pelajar-pelajar Universiti Malaya yang memberi protes kepada Najib. UMNO masih hidup pada zaman di mana pelajar-pelajar hanya berfungsi sebagai konsumer maklumat yang diberi sahaja. Mereka masih bersifat gengster dalam budaya ilmu. Pentadbiran pendidikan oleh PH jauh beza sekali.

Dr Maszlee mahu universiti mewujudkan budaya ilmu yang bebas daripada perasaan takut menyatakan yang benar walaupun ke muka seorang gengster politik. Universiti patut menjaga bukan sekadar keselamatan tetapi kebebasan pelajar untuk menyatakan secara terbuka KAMI TIDAK SETUJU.

Saya hairan mengapa ulama-ulama parti syurgawan dan pejuang-pejuang ketuanan bangsa begitu senyap bila universiti dicabar oleh gengster-gengster ilmu ini. Mereka begitu vokal sekali bila demonstrasi anti-Icerd. Mereka begitu mengambil berat isu rotan lesbian tetapi di mana ketegasan mereka dalam menegakkan kebebasan pelajar untuk nyatakan kebenaran.

Adakah mereka lebih mengutamakan usaha menghalalkan pembohongan demi parti politik daripada menjaga maslahat kebebasan menyuarakan pendapat dan kebenaran di universiti? Mereka begitu lantang sekali mengeluarkan dalil-dalil agama untuk menghalalkan pembohongan politik dan senyap dalam usaha mencerdikkan mahasiswa.

Artikel Berkaitan:

Saya lihat ulama-ulama parti syurgawan dan parti ketuanan bangsa kita memainkan “politik identiti” yang sangat bahaya. Bahkan lebih bahaya daripada arak kerana ia begitu “memabukkan” penyokong-penyokongnya sehingga merosakkan akal ke tahap mereka meletakkan perjuangan identiti atas perjuangan keadilan. Mereka menjadikan politik identiti musuh politik keadilan.

Maknanya mereka ingin memabukkan rakyat dengan identiti agama dan bangsa sehingga melupakan keadilan dalam isu-isu nasional yang lain. Suara mereka begitu lantang menentang Icerd kerana Icerd berkaitan dengan identiti bangsa mereka. Mereka begitu vokal sekali membicarakan soal hudud dan RUU 355 kerana ia berkaitan dengan identiti agama mereka.

Tetapi adakah umat Islam diutuskan untuk mengutamakan bangsa Quraisy dan agama Islam sahaja? Mereka tidak faham konsep Nubuwah Nabi Muhammad SAW sebagai Khatimul Anbiyaa’. Ulama dianggap sebagai pewaris Nabi Muhammad SAW apabila mereka faham konsep Khatimul Anbiyaa’.

Tiada Nabi dan Rasul lagi selepas Nabi Muhammad SAW. Ini bermakna bahawa baginda adalah utusan kemanusiaan sejagat. Bukan untuk satu bangsa sahaja. Nabi begitu tegas sehingga memberi amaran kepada umat Muslimin bahawa sesiapa yang menyakiti ahli dzimmah, maka dia menyakiti Nabi juga.

Perjuangan Islam yang sebenar tidak membezakan politik identiti dan politik keadilan. Bila kita beridentiti Muslim yang sebenar, kita akan menegakkan keadilan untuk kemanusiaan sejagat dan dalam segenap isu-isu kemanusiaan. Isu budaya ilmu di universiti adalah isu kemanusiaan sejagat. Mengapa kita diharamkan minum arak? Kerana ia merosakkan akal. Penjagaan akal adalah salah satu maqasid syariah. Tetapi syurgawan dan ketuanisme bangsa ini hanya menyempitkan maqasid penjagaan akal ini dalam isu arak.

Dr Maszlee melihat maqasid penjagaan akal juga merangkumi penjagaan budaya ilmu melalui kebebasan menyatakan pendapat dan kebenaran di universiti-universiti. Syabas kepada Menteri Pendidikan yang juga seorang ulama pendidikan yang hebat dalam memperkasakan Maqasid Hizhul ‘Aql.

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak