Debat Perdana Anwar-Najib: Dewan Sivik MBPJ atau MATIC

Debat antara Anwar (kiri) dan Najib ditetapkan pada 12 Mei.
Debat antara Anwar (kiri) dan Najib ditetapkan pada 12 Mei.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Meskipun Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berlangsung pada 12 Mei ini, namun lokasinya masih belum ditetapkan.

Memetik laporan Awani, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, beliau dan pejabat Najib kini masih mencari lokasi yang sesuai.

“Cuma kita tunggu keputusan bersama,” katanya pada Khamis.

Pada awalnya, dimaklumkan program debat tersebut akan diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), namun pihak universiti tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Difahamkan, penganjur sedang mempertimbangkan dua lokasi iaitu Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC).

Sebelum ini, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) juga meminta jasa baik pengurusan UM dalam mempertimbang kelulusan bagi penganjuran debat antara Najib dan Anwar.

Katanya, penganjuran debat itu akan mencerminkan pembudayaan diskusi ilmiah dan diskusi perihal pembuatan dasar yang perlu dimartabat.

Bagaimanapun, Najib baru-baru ini memaklumkan UM tidak bersetuju dengan pilihan dewan namun debat antaranya dan Anwar akan tetap diteruskan tetapi di lokasi lain.

Media sebelum ini melaporkan kedua-dua pemimpin itu saling mencabar antara satu sama lain untuk merungkai mengenai isu Sapura Energy Berhad (SEB) yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).