Kes bunuh isteri: Reman warga emas disambung

Polis menjalankan siasatan di bilik yang didiami suspek dan mangsa.
Polis menjalankan siasatan di bilik yang didiami suspek dan mangsa.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang warga emas dari Amerika Syarikat yang ditahan minggu lalu untuk membantu siasatan berhubung kematian isterinya disambung reman tujuh hari lagi.

Suspek berusia 62 tahun yang ditahan 19 Mac lalu telah direman tujuh hari sehingga hari ini namun disambung seminggu lagi untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sambung reman terhadap suspek bermula hari ini sehingga 31 Mac ini.

Terdahulu, suspek ditahan pada jam 5.45 petang di pekarangan bangunan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas keputusan bedah siasat terhadap mayat isterinya diperolehi.

Keputusan bedah siasat mendapati Chin Geok Heong, 60, yang merupakan surirumah itu meninggal dunia akibat lemas dan serangan jantung.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Lintang Delima 4, Island Glades, Jelutong yang mana, suspek dipercayai telah menekup muka mangsa menggunakan kedua-dua tangannya sehingga mangsa lemas.

Sebelum itu, adik mangsa mendakwa terdengar suara kakaknya menjerit ketika berada bersama suspek dalam bilik di rumah berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan HPP ketika dalam perjalanan ke hospital.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua suami isteri yang dilahirkan di Malaysia dan telah mendapat kerakyatan Amerika Syarikat itu pulang ke negara ini pada 19 Januari lalu untuk menyambut Tahun Baru Cina.

Ujian saringan dadah ke atas suspek yang merupakan pesara itu negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.