Dapat baju raya saat-saat akhir

Suri rumah, Nur Aliya Hamid dapat mencari baju raya sedondon untuk dipakai seisi keluarga di pagi Syawal atas bantuan rakan pada saat-saat akhir selepas pengumuman Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Isnin.
Suri rumah, Nur Aliya Hamid dapat mencari baju raya sedondon untuk dipakai seisi keluarga di pagi Syawal atas bantuan rakan pada saat-saat akhir selepas pengumuman Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Persiapan sambutan Aidilfitri tahun ini berubah kelam-kabut selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan Hari Raya Aidilfitri disambut 2 Mei 2022.

Ini disebabkan rata-rata merancang membuat persiapan terakhir termasuk mengemas rumah dan menyediakan juadah pada 3 Mei 2022 kerana menjangkakan Syawal kali ini jatuh pada Selasa.

Pengalaman itu dikongsikan suri rumah, Nur Aliya Hamid, 31, yang turut panik apabila masih belum membuat persiapan raya termasuklah dari segi pakaian raya.

"Ketika mendengar pengumuman berkenaaan pada Ahad lepas, saya berasa amat terkejut dan masih tidak percaya bahawa Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Isnin.

"Ini memandangkan saya merancang untuk membuat segala persiapan pada hari Isnin selepas selesai menyiapkan tempahan pelanggan untuk mendapatkan popiah sira pedah ranggup," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Nur Aliya sepatutnya, menyiapkan tempahan dan membuat penghantaran kuih berkenaan pada Isnin kerana menyangkakan hari raya akan disambut pada Selasa.

"Memang agak kalut disebabkan perlu lakukan semuanya pada malam Ahad itu juga, tambahan pula saya perlu menghantar air minuman dan dodol yang turut dijual kepada pelanggan pada malam itu juga hingga jam 2 pagi.

"Bayangkan, saya sendiri belum membeli baju raya untuk dipakai seisi keluarga di pagi Syawal kerana menjangkakan raya akan disambut pada Selasa," katanya.

Bagaimanapun, dia akhirnya mampu menarik nafas lega apabila salah seorang rakannya bersedia membantu mencari pakaian raya untuk dirinya sekeluarga.

"Dalam suasana panik perlu menghantar tempahan pelanggan, memang tidak sempat untuk menyerbu kompleks beli belah ataupun bazar Aidilfitri untuk mencari baju raya," ujarnya.

"Mujur rakan menjadi penyelamat mendapatkan pakaian sedondon warna kuning untuk kami empat beranak pada saat-saat akhir.

"Alhamdulillah, hajat untuk membeli baju raya kesampaian dan anak-anak rasa gembira dapat berhari raya dengan baju baru walaupun agak kelam kabut," ujarnya.

Lebih mengembirakan, dia berpeluang meraikan Syawal bersama beberapa ahli keluarganya yang sepatutnya bekerja pada Hari Raya Aidilfitri sekiranya ia jatuh pada Selasa.

"Contohnya, salah seorang kakak saya sepatutnya bekerja pada Syawal pertama yang dijangka disambut pada Selasa, tetapi dia dapat meraikan Aidilfitri dengan kami disebabkan ia jatuh sehari lebih awal pada Isnin," jelasnya.