Jangan ulangi kesalahan 'DINA', 'MIRA', 'J3H3'

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

NAMA‘DINA', 'MIRA' dan 'J3H3' ‘trending’ ketika ini gara-gara tindakan polis Terengganu menahan tiga pemandu kerana dikesan menggunakan nama-nama tersebut sebagai nombor pendaftaran kenderaan mereka.

Hakikatnya, penggunaan nombor pendaftaran kenderaan yang hampir menyerupai apa-apa tanda seperti nama tertentu bukanlah perkara baharu berlaku di negara ini.

Sebaliknya, penggunaan nombor pendaftaran kenderaan dengan nama-nama tertentu itu kerap digunakan terutamanya melibatkan pemilik kenderaan mewah.

Justeru, langkah yang diambil oleh polis Terengganu itu sewajarnya dijadikan sebagai permulaan untuk pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melakukan kesalahan tersebut.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man, kesalahan tersebut membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dan sebuah kereta Volkswagen Golf MK6.

Beliau berkata, dua MPV yang menggunakan nombor pendaftaran ‘MIRA’ dan ‘DINA’ ditahan Skuad 42 JSPT Terengganu semasa pemantauan kelancaran trafik dan samseng jalanan di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Padang Midin.

Tidak lama selepas itu, pihaknya menahan sebuah kereta Volkswagen Golf MK6 dipandu oleh seorang lelaki berusia 24 tahun kerana menggunakan nombor pendaftaran ‘J3H3’di Bandar Baharu Kuala Nerus.

Jelas Ismail, dua pemandu yang ditahan memberi alasan menggunakan nombor pendaftaran ‘MIRA’ dan ‘DINA’ kerana teruja memperolehi MPV baharu untuk menyambut Syawal dan dedikasikan atas nama isteri atau seseorang.

Pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran ‘J3H3' pula memberi alasan tidak sempat menukar nombor pendaftaran mengikut spesifikasi ditetapkan kerana kenderaan tersebut kononnya baru dibeli pada malam raya.

Apa pun alasan yang diberikan, kes berkenaan tetap disiasat di bawah Seksyen 108 (3)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran yang hampir menyerupai apa-apa tanda bagi tujuan untuk memperdayakan pihak berkuasa.

Jika disabitkan kesalahan, pemilik ‘MIRA’, ‘DINA’ dan ‘J3H3’ boleh dikenakan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara atau kedua-duanya.

Melihat akan denda dan hukuman yang menanti pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut ternyata ia bukan kesalahan ringan.

Diharap tindakan yang diambil ke atas pemilik kenderaan 'DINA', 'MIRA' dan 'J3H3' itu memberi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Tidak salah untuk mendedikasi atau menzahirkan rasa sayang atau cinta kepada seseorang tetapi bukan dengan cara melanggar peraturan ditetapkan pihak berkuasa.