Bank Malaysia mampu hadapi persaingan daripada bank digital

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ENAM kumpulan perbankan terbesar Malaysia mempunyai keupayaan untuk berdepan dengan persaingan daripada bank digital inovatif susulan pengumuman lima penerima lesen bank digital oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Enam kumpulan perbankan itu ialah Malayan Bank Bhd, CIMB Bank Bhd, Public Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd, syarikat pegangan bagi AmBank (M) Bhd.

Menurut Moody’s Investors Service, walaupun peserta baharu itu akan meningkatkan persaingan deposit dalam segmen pengguna dan perniagaan kecil, namun enam kumpulan bank terbesar tersebut mampu untuk menangkis persaingan dengan francaisnya yang meluas serta pengukuhan digital berterusan yang dilaksanakan yang akan meningkatkan kesetiaan pelanggan.

"Mereka telah membangunkan versi ‘super apps’ mereka sendiri, yang kini membolehkan pelanggan mengakses set penuh produk dan perkhidmatan kewangan termasuk pembayaran digital bagi pelbagai urus niaga menggunakan antara muka pengaturcaraan aplikasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bank-bank itu juga mendapat manfaat daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan kecekapan pembayaran dan kesalingoperasian, yang termasuk pelaksanaan DuitNow dan kod DuitNow Quick Response (QR), sistem pembayaran runcit masa nyata negara dan kod QR yang distandardkan.

Pada 29 April, BNM mengumumkan lima konsortium iaitu Boost Holdings Bhd-RHB Bank Bhd, GXS Bank Pte Ltd-Kuok Brothers Sdn Bhd, Sea Ltd-YTL Digital Capital Sdn Bhd, AEON Financial Service Co Ltd-AEON Credit Service (M) Bhd-MoneyLion Inc dan KAF Investment Bank Sdn Bhd memperoleh lesen bank digital Malaysia.

"Selain itu, kemasukan bank digital tidak akan banyak menjejaskan bahagian pasaran bank-bank terbesar dalam tempoh empat hingga tujuh tahun yang akan datang kerana bank-bank digital ini akan kekal kecil,” ujar Moody’s Investors Service.

Menurutnya, peserta baharu mungkin akan mengambil masa antara 12 dan 24 bulan untuk ditubuhkan dan perlu lulus audit yang dijalankan oleh BNM sebelum memulakan operasi.

Bagaimanapun, ia berkata, bank-bank kecil akan berdepan persaingan sengit daripada peserta baharu dan juga bank-bank lebih besar dan berikutan kekangan sumber, mereka akan terbeban dengan prasarana teknologi legasi mereka.

Moody’s berkata, Malaysia kini menyertai negara Asia Tenggara lain termasuk Singapura, Filipina dan Indonesia memperkenalkan bank digital ke dalam sistem perbankan mereka. - Bernama