JPS Kelantan buat laporan polis

Kamal (tengah) bersama pegawainya melakukan tinjauan di kawasan Sungai Golok.
Kamal (tengah) bersama pegawainya melakukan tinjauan di kawasan Sungai Golok.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Satu laporan polis dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan berhubung kerja-kerja mengorek pasir dasar di Sungai Golok oleh kontraktor dari negara jiran untuk tujuan projek tebatan banjir yang didakwa telah melangkaui sempadan negara.

Pengarah JPS Kelantan, Kamal Mustapha berkata, laporan polis itu telah dibuat pegawainya di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas Jumaat lalu bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung perkara itu dilakukan.

"Kita buat laporan polis itu sekadar maklumkan kepada pihak berwajib supaya dapat mengambil tindakan seterusnya.

"Hal ini kerana ia berada di luar bidang kuasa JPS. Kami hanya memantau supaya pihak lain dapat ambil tindakan seterusnya sebab aktiviti ini masih berlaku," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan Sungai Golok di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemantauan dibuat oleh JPS Kelantan mendapati ada longgokan tanah di kawasan pembinaan benteng itu sudah memasuki sempadan negara ini.

Kamal menunjukkan kerja-kerja pembinaa benteng yang dilakukan oleh Kerajaan Thailand.
Kamal menunjukkan kerja-kerja pembinaa benteng yang dilakukan oleh Kerajaan Thailand.

Katanya, buat masa ini pihaknya tidak dapat mengenal pasti sempadan negara yang sebenar kedua-dua negara disebabkan aktiviti tersebut.

Kamal berkata, aktiviti mengorek pasir itu menyebabkan ada beberapa kawasan di sungai itu kini lebih dalam berbanding sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia dikhuatiri mengubah struktur tebing sebelah Rantau Panjang khususnya jika berlaku banjir besar.

"Sepatutnya, kedua-dua negara perlu membuat pemantauan bagi memastikan projek berkenaan tidak melepasi kawasan sempadan yang ditetapkan," katanya.

Kamal berkata, jika dilihat projek pembinaan benteng di sempadan Thailand sangat membimbangkan kerana akan memberi kesan kepada tebing sungai di sempadan Malaysia seperti hakisan.

Katanya, disebabkan situasi itu, JPS Kelantan merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan pelaksanaan projek Pembangunan Lembangan Bersepadu Sungai Golok Fasa II yang membabitkan anggaran kos RM300 juta.

"Projek berkenaan melibatkan pembinaan tebing Sungai Golok seperti mana dibina di sempadan Thailand sepanjang lima kilometer.

"Benteng yang dibina bertujuan mengelakkan hakisan berlaku berikutan aliran sungai yang kuat ketika musim tengkujuh sekali gus melindungi pekan Rantau Panjang daripada banjir besar apabila tiba musim tengkujuh," katanya.