MB Kedah ingatkan rakyat waspada di jalan raya

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menasihatkan rakyat Kedah termasuk perantau yang pulang berhari raya di kampung supaya lebih berhati-hati di jalan raya pada musim perayaan ini.

Muhammad Sanusi menzahirkan rasa amat sedih dan bimbang dengan kadar kemalangan termasuk kemalangan maut yang agak tinggi termasuk di negeri ini sejak Ops Selamat 18 dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 29 April lepas.

Menurutnya, Kedah mencatatkan lima kes kematian daripada 72 kes kemalangan maut dengan 76 kematian sepanjang tempoh empat hari Ops Selamat 18.

"Selain itu, 422 direkodkan berlaku di Kedah daripada sebanyak 1,650 kes kemalangan direkodkan dalam tempoh sama.

"Bagi saya, ini angka yang agak tinggi jika kita nilai dari perspektif keselamatan, kesan sosial dan juga impak yang ditanggung oleh individu berkenaan dan keluarga," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, beliau memahami bahawa hari raya kali ini agak istimewa bagi semua setelah dua tahun tidak dapat balik kampung raikan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pertambahan mendadak jumlah kenderaan di negeri ini juga mungkin menjadi penyebab kepada risiko peningkatan kadar kemalangan.

"Justeru, berhati-hatilah. Jangan terburu-buru ketika memandu kerana walau dalam apa jua keadaan, keselamatan diri dan keluarga perlu diutamakan," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko dengan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) walaupun telah banyak diberikan kelonggaran oleh kerajaan meskipun kini berada dalam suasana peralihan ke fasa endemik.