Warga Pakistan ditemui lemas selepas dua hari hilang

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Lelaki warga Pakistan berusia 23 tahun ditemui lemas pada Rabu selepas dua hari dilaporkan hilang di Empangan Semenyih di Kajang.

Mangsa dikenali sebagai Bahar Ali dikatakan mandi di kawasan empangan berkenaan pada petang Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan awal pada jam 5.40 petang pada hari kejadian.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dihantar ke lokasi bagi operasi mencari serta menyelamat mangsa.

"Selepas dua hari laporan diterima, pasukan bomba menerima maklumat terkini daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengatakan mayat mangsa dilihat timbul berhampiran tebing empangan pada 8.55 pagi tadi.

"Mangsa ditemui pada jarak 150 meter dari lokasi dia dikatakan mandi sebelum dilaporkan lemas. Mayat mangsa berjaya dibawa naik ke tebing pada jam 10.25 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Norazam berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, kes tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.