'Hari raya tapi air sekejap ada, sekejap tiada'

Agak menyedihkan apabila terdapat segelintir penduduk dan peniaga di beberapa kawasan terjejas akibat gangguan bekalan air sejak petang Selasa.
Agak menyedihkan apabila terdapat segelintir penduduk dan peniaga di beberapa kawasan terjejas akibat gangguan bekalan air sejak petang Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pada hari ketiga Syawal sudah tentu masih ramai sanak saudara serta kenalan berkunjung dari rumah ke rumah bagi meraikan Aidilfitri.

Namun agak menyedihkan apabila terdapat segelintir penduduk dan peniaga di beberapa kawasan terjejas akibat gangguan bekalan air sejak awal petang Selasa.

Menurut Muhadli Gothol, 60, dari Kampung Dagang, Banting, gangguan bekalan air di rumahnya berlaku bermula pada hari kedua Syawal sehingga pagi Rabu.

Muhadli
Muhadli

"Sekejap ada, sekejap tiada (air), terganggu juga kerana tengah kita sibuk beraya tiba-tiba air tiada tetapi kemarahan reda apabila air ada semula," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Baginya, Aidilfitri yang sepatutnya diraikan dengan ceria bersama keluarga, seolah-olah direncat kegembiraannya apabila terpaksa berdepan dengan masalah air.

Sementara itu, seorang penduduk dari Sungai Buloh, Maszeli Mohammad Wee, 33, berkata, gangguan bekalan air kerap berlaku di kawasan sekitar Sungai Buloh.

Maszeli
Maszeli

Disebabkan itu katanya, penduduk telah membuat persiapan awal dengan menyimpan air untuk digunakan pada waktu kecemasan termasuk ketika perayaan.

"Kawasan rumah dan nurseri selalu berdepan masalah air, cuma di nurseri saya tidak risau kerana ada kawasan tadahan air dan di rumah saya perlu sediakan tong besar," katanya yang juga merupakan pengusaha nurseri.

Seorang peniaga bakeri dari Hulu Langat, Mini Osman, 45, pula berkata, penduduk di kawasan Hulu Langat tidak mengalami gangguan bekalan air dan dapat meneruskan rutin seperti biasa ketika Aidilfitri.

Mini
Mini

"Kami tidak mengalami gangguan bekalan air, tiada masalah bagi peniaga di sini untuk memulakan perniagaan mereka pada hari ini (Rabu)," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Bahagian Shah Alam, Fahmi Bazlan berkata, gangguan bekalan air sentiasa berlaku di negeri berkenaan.

Fahmi Bazlan
Fahmi Bazlan

"Sehubungan itu, saya harap kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan ambil tindakan cepat kerana benda penting ini, semua orang gunakan air," katanya.

Pada Selasa, Air Selangor memaklumkan sebanyak 472 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang berdepan gangguan bekalan air sejak jam 3 petang.

Gangguan berlaku berikutan pemberhentian tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai (LRA) Semenyih dan LRA Bukit Tampoi ekoran insiden pencemaran bau yang dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, Air Selangor.

Bagaimanapun gangguan bekalan air pulih sepenuhnya jam 8 pagi pada Rabu.