Pencapaian ke separuh akhir boleh dibanggakan: Moreno

Moreno
Moreno
A
A
A

MESKIPUN gagal mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah, tonggak serangan Villareal, Gerard Moreno percaya kejayaan pasukannya mara ke pusingan separuh akhir sebenarnya satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Menurut Moreno, pasukannya berjaya mempamerkan aksi yang terbaik pada perlawanan timbal balik kedua, namun kualiti yang dimiliki pemain-pemain Liverpool menyaksikan pasukannya terpaksa akur tewas 3-2 di Estadio de la Cerámica awal pagi tadi.

"Pasukan perlu bangga dengan aksi yang ditampilkan pada perlawanan ini. Mereka sentiasa percaya mereka mampu untuk melakukan kejutan sehingga wisel penamat berbunyi.

"Persembahan yang menakjubkan pada separuh masa pertama dan ia merupakan salah satu aksi terbaik kami pada musim ini.

"Kami cuma dibezakan dengan kualiti pemain-pemain yang mana sudah tentu mereka mempunyai pemain yang lebih baik," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Villareal berjaya mendahului Liverpool dengan dua gol pada separuh masa pertama hasil jaringan Boulaye Dia dan Francis Coquelin sekali gus berjaya menyamakan agregat 2-2.

Bagaimanapun, Liverpool kembali lebih baik pada separuh masa kedua di La Ceramica apabila meledakkan tiga gol hasil jaringan Fabinho, Luis Diaz dan Sadio Mane untuk mereka melakar kemenangan 3-2 dan menang dengan agregat 5-2.

Dalam pada itu, pengendali Villareal Unai Emery memuji persembahan yang ditampilkan anak buahnya sambil memberitahu pemain-pemainnya sudah melakukan tugas mereka dengan baik pada perlawanan itu.

"Kami telah membuktikan kepada mereka bahawa kami datang ke perlawanan ini bukan saja-saja tapi untuk beri tentangan yang sengit.

"Pemain berjaya mengikut segala perancangan yang ditetapkan dan berjaya beraksi dengan baik pada separuh masa pertama, namun agak kepenatan pada separuh masa kedua.

"Kelebihan itu digunakan sebaiknya oleh Liverpool untuk menghukum kami dan ia agak susah buat kami untuk bangkit semula," katanya.