Sila log masuk terlebih dahulu.

Persefahaman pemain, jurulatih mampu jelmakan emas di Hanoi

Senarai 24 pemain yang bakal membawa cabaran negara di Sukan SEA Hanoi.
Senarai 24 pemain yang bakal membawa cabaran negara di Sukan SEA Hanoi.
A
A
A

PENYERANG muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin percaya persefahaman yang baik antara pemain dan jurulatih dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, mampu menghadirkan pingat emas pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam.

Beliau berkata, persefahaman baik yang dibentuk dalam skuad kendalian Brad Maloney itu semasa beberapa aksi persahabatan sebelum ini, memberikan mereka kelebihan apabila berdepan lawan pada temasya dwitahunan itu nanti.

"Harapan saya untuk pasukan ini sudah tentu nak pingat emas, bukan perak atau gangsa...sasaran emas sahaja. Pasukan sudah membuat persiapan terbaik, kita sudah bermain aksi persahabatan dengan Timor Leste dan Filipina.

"Perlawanan persahabatan ini telah membentuk persefahaman yang baik dalam pasukan," katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi latihan terakhir skuad negara di Kompleks Sukan PKNS pada Selasa.

Skuad bimbingan Maloney itu berlepas ke Hanoi pada Rabu bagi menghadapi saingan Sukan SEA.

Luqman Hakim berkata, walaupun bakal berdepan cabaran sengit dalam Kumpulan B, sudah pasti beliau dan rakan sepasukan akan menampilkan prestasi terbaik dengan memberikan fokus 100 peratus dalam setiap perlawanan.

Sementara itu, Maloney berkata, walaupun perlawanan yang menanti dilihat sengit, namun jika beliau mampu memperkukuhkan lagi pasukan dalam tempoh beberapa hari ini, beliau percaya pasukan kendaliannya akan lebih mantap di Hanoi.

Tegasnya, sesetengah pemain jelas mempunyai kualiti kepimpinan yang boleh menjadi tonggak dalam membantu Malaysia meraih pingat emas.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa kita mempunyai pemain yang mampu mencorakkan permainan seperti Mukhairi Ajmal Mahadi, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Azri Ab Ghani, Ahmad Zikri Mohd Khalili dan Muhammad Azrin Afiq Rusmini. Saya percaya kesemua pemain ini mempunyai kualiti dan pengalaman.

"Bagi Hadi Fayyadh (Abdul Razak) dan Luqman Hakim pula, saya sangat lega mereka dapat kembali menyertai pasukan. Prestasi mereka pada tahap terbaik walaupun baru tiba dari luar negara,” katanya.

Luqman Hakim beraksi untuk KV Kortrijk di Divisyen Satu Liga Belgium, manakala Hadi Fayyadh bermain untuk kelab Azul Claro Numazu di Liga J3 Jepun.

Diundi dalam Kumpulan B, Malaysia akan berdepan dengan Thailand pada 7 Mei, dikuti Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong di Nam Dinh. Hanya dua pasukan terbaik dalam peringkat kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia meraih ‘ibu segala pingat’ dalam temasya dwitahunan itu pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia di bawah bimbingan ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Sementara itu, menerusi kenyataan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Maloney turut mengumumkan senarai 24 pemain dengan 20 pemain bakal membawa cabaran negara di Sukan SEA.

Empat pemain yang tiada dalam senarai akhir 20 pemain itu akan kekal berada di Hanoi sebagai senarai bersedia bagi menggantikan mana-mana pemain yang terpaksa digugurkan jika diuji positif Covid-19 sepanjang berlangsungnya Sukan SEA. - Bernama