Pusat karaoke jual arak tanpa lesen diserbu

Antara pengunjung sebuah pusat karaoke yang diperiksa dalam Op Cantas Khas pada Ahad.
Antara pengunjung sebuah pusat karaoke yang diperiksa dalam Op Cantas Khas pada Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA - Sebuah pusat karaoke di Icon City di sini yang disyaki menjual minuman keras tanpa lesen yang sah diserbu sepasukan anggota polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah mengesan aduan awam berkaitan aktiviti premis itu dari laman sosial Twitter.

"Bertindak atas aduan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menjalankan Op Cantas Khas pada jam 11.15 malam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Fakhrudin berkata, seramai 13 lelaki dan 11 wanita tempatan telah diperiksa di dalam premis hiburan tersebut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati premis itu mempunyai lesen hiburan yang sah, namun kita mengesan kesalahan lain iaitu premis berkenaan menjual minuman keras tanpa lesen yang sah.

"Kita mengambil tindakan mengikut Akta Eksais 1976," katanya.

Beliau berkata, pihaknya pernah melakukan dua serbuan di premis yang sama pada Ogos dan Oktober tahun lalu.

"Kita mengambil tindakan ke atas premis hiburan serta pelanggan tersebut yang didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya kesalahan premis beroperasi dengan melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Penyakit Berjangkit dan menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah," ujarnya.

Mohamad Fakhrudin memberitahu, pihaknya memandang serius ke atas sebarang aduan yang telah disampaikan.

"Kita tidak akan sama sekali kompromi dengan mana-mana pengusaha pusat hiburan yang melanggar undang-undang sedia ada," katanya.

Ujarnya, turut mengalu-alukan penglibatan masyarakat menyalurkan sebarang maklumat dalam usaha membantu membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"Maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di atas talian 03-79662222," katanya.