Perang Twitter gara-gara Nurul Izzah

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - Gara-gara kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, beberapa pemimpin politik pula saling sindir menyindir di laman Twitter.

Ia dimulakan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam yang menyatakan Malaysia memerlukan orang yang berjuang ke saat akhir dan bukannya cengeng atau banyak merungut.

Meskipun tidak menyatakan nama, Mohamed Azmin dipercayai merujuk kepada Nurul Izzah yang sebelum ini menyatakan kekecewaannya dengan langkah perlahan kerajaan PH dalam pentadbiran negara.

Tweet Mohamed Azmin itu kemudiannya mendapat respon Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang seolah-olah mempertahankan Nurul Izzah.

"Apabila seorang wanita menyatakan pendirian, dipanggil cengeng? Tidak patut," tulis Nik Nazmi di Twitter.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut menyatakan sokongan dengan membalas Tweet Nik Nazmi dan membidas Mohamed Azmin yang disifatkannya tiada visi dan arah untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara.

"Inilah masalah terbesar dihadapi negara hari ini dan Azmin tidak menyediakan penyelesaian," katanya.

Episod sindir menyindir tidak terhenti di situ apabila balasan Tweet Khairy mendapat pula perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempertahankan Mohamed Azmin.

Artikel Berkaitan:

"Ketika beliau (Mohamed Azmin) jadi Menteri Besar Selangor, BN cakap perkara sama. Tiada arah/Tiada visi/Guna pintu belakang. Tetapi beliau buktikan jadi yang terbaik.

"Skim Peduli Sihat, Bantuan Ibu Tunggal (Kiss), Skim Tawas, pinjaman mikro kredit tanpa faedah hijrah. Anda (Khairy) pula ketika itu sibuk buat klip video untuk Najib," tulisnya.

Nurul Izzah sebelum ini dalam wawancaranya dengan sebuah akhbar luar negara berkata beliau tidak akan bertanding lagi dalam PRU15.

Menurut laporan Straits Times Singapore, Nurul Izzah yang diberi gelaran Puteri Reformasi itu menyifatkan kerajaan PH mengambil langkah perlahan dalam pentadbiran negara.

Selain itu, Nurul Izzah berkata, beliau kecewa dengan obsesi kerajaan PH terhadap skandal 1MDB dan tidak memberi fokus terhadap isu sebenar.