Sila log masuk terlebih dahulu.

Agong, Permaisuri doa kejayaan Malaysia di Sukan SEA Hanoi

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendoakan kejayaan untuk Kontinjen Malaysia ke temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi bermula 12 Mei depan.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendoakan kejayaan untuk Kontinjen Malaysia ke temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi bermula 12 Mei depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendoakan kejayaan untuk Kontinjen Malaysia ke temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam yang bakal membuka tirai 12 Mei ini.

"Beta berkeyakinan Jalur Gemilang akan berkibar megah dengan berbekalkan semangat yang tidak mengenal erti kekalahan justeru, teruskan mengorak langkah mencipta kejayaan memburu kilauan emas demi Malaysia yang tercinta,” titah Seri Paduka dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan menerusi siaran televisyen dan radio, malam Isnin.

Sukan SEA Hanoi dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 584 atlet meletakkan sasaran sebanyak 36 pingat emas di temasya berkenaan.

Semasa Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina, kontinjen negara mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa, seterusnya menduduki tangga kelima keseluruhan berbanding sasaran tempat keempat.

Tuan rumah, Filipina dinobatkan juara diikuti Vietnam (kedua), Thailand (ketiga) dan Indonesia keempat. - Bernama

Artikel Berkaitan: