Rakyat Malaysia disaran tidak lupakan umat Islam di negara bergolak

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak melupakan umat Islam yang menyambut perayaan Aidilfitri di negara bergolak seperti Palestin, Iran dan Syria.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun tidak dapat membantu secara fizikal, namun orang ramai disarankan supaya mendoakan agar konflik yang sedang melanda negara berkenaan berakhir dan masing-masing dapat menjalani kehidupan dalam suasana aman dan damai.

“Selain itu, dalam kita gembira dan teruja untuk menyambut lebaran kali ini, kita juga jangan sesekali melupakan golongan yang kurang bernasib baik, yang mungkin tidak mampu menyambut hari besar ini seperti kita disebabkan kesusahan dan kesempitan hidup.

“Marilah kita sama-sama membantu golongan ini dengan memberikan mereka sedikit kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,” katanya dalam satu ucapan sempena Hari Raya Aidilfitri pada Ahad.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut menasihati individu yang mahu pulang ke kampung halaman supaya berhati-hati di jalan raya.

“Kepada yang merancang untuk bergerak pulang malam ini ataupun esok pagi ataupun yang sedang memandu ketika ini sentiasa berdisiplin dan patuh kepada peraturan jalan raya serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Kalau rasa penat berhenti dan berehat seketika ataupun bergilir memandu dengan ahli keluarga yang lain. Saya doakan saudara-saudari dilindungi ALLAH SWT,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang tidak pernah merasa jemu bertugas termasuklah pada musim perayaan bagi memastikan keselamatan negara.

“Saya, isteri dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh umat islam tidak kira di mana jua anda berada,” ujarnya.